Masak lauk kegemaran anak, belanja makan antara perkara ibu bapa boleh lakukan pada 10 Muharam


  • Bonda
  • Ahad, 06 Jul 2025

Memasak lauk kegemaran anak-anak pada 10 Muharam ialah cara mudah ibu bapa menggembirakan keluarga sambil menghidupkan sunnah melapangkan rezeki. — Gambar hiasan/Janaan AI

SETIAP ibu bapa pasti mengimpikan kehidupan yang cukup, tenang dan diberkati buat keluarga.

Istimewanya dalam Islam, ada hari-hari tertentu memberi peluang besar untuk kita melipatgandakan amalan dan membuka ruang rezeki, salah satunya ialah pada 10 Muharam.

Hari Asyura bukan hanya hari memperingati sejarah umat terdahulu, tetapi juga peluang istimewa bagi ibu bapa untuk melapangkan rezeki keluarga dengan cara yang sangat mudah.

BACA LAGI: Usahawan Sugardoll syukur miliki ibu mentua penyayang, sentiasa melindungi

BACA LAGI: Deniz Sagdic transformasi seni dari bahan kitar semula jadi 'suara' isu kelestarian, alam sekitar

Hadiah kecil pada 10 Muharam mungkin sederhana, tetapi cukup untuk membahagiakan anak-anak dan menjadi salah satu usaha ibu bapa meraih keberkatan rezeki sekeluarga. — Gambar hiasan/Freepik

“Siapa yang melapangkan rezeki untuk keluarganya pada hari Asyura, ALLAH akan lapangkan rezekinya sepanjang tahun.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Ini bukan ajakan untuk berbelanja besar, tetapi cukup dengan keikhlasan dan perhatian yang lebih daripada biasa.

Berikut antara amalan ringkas boleh dilakukan ibu bapa pada 10 Muharam:

1. Masak lauk kegemaran anak-anak

Gunakan hari ini sebagai peluang untuk memasak sesuatu yang anak-anak suka, walaupun hanya hidangan ringkas.

Jika biasanya masak apa yang ada, kali ini cubalah beri lebih perhatian pada menu kegemaran mereka.

2. Belanja makanan, snek kegemaran

Tidak semestinya makan di restoran mahal. Beli sahaja aiskrim, roti sosej atau teh boba yang mereka suka pun sudah menceriakan hati.

Ajak anak-anak keluar menikmati makanan pilihan mereka juga boleh menjadi momen istimewa yang sukar dilupakan.

3. Hadiah kecil, keperluan harian

Contohnya alat tulis baharu, botol air atau barang keperluan sekolah. Ia bukan sahaja menggembirakan, malah menunjukkan bahawa ibu bapa sentiasa prihatin terhadap keperluan mereka.

Hadiah sebegini juga boleh menjadi motivasi untuk mereka lebih bersemangat dalam kehidupan seharian.

4. Tambah duit poket sedikit daripada biasa

Walaupun hanya RM2 atau RM5 tambahan, ia sangat bermakna buat anak-anak. Bagi mereka, itu adalah bentuk penghargaan dan perhatian yang menyenangkan hati dan bagi ibu bapa, itu adalah satu bentuk sedekah yang mendatangkan ganjaran besar di sisi ALLAH.

Melalui amalan-amalan yang nampak kecil ini, ibu bapa bukan sahaja membina hubungan yang lebih erat dengan anak-anak, tetapi juga sedang membuka pintu rezeki dan keberkatan untuk seluruh keluarga.

Ingat, rezeki bukan hanya datang dalam bentuk wang, tetapi juga dalam bentuk kasih sayang, rumah yang tenang dan hati yang lapang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram