
DALAM kesibukan rutin harian yang padat dengan urusan kerja, keluarga dan komitmen peribadi, ramai pasangan suami isteri terlepas pandang akan kepentingan mencipta ruang eksklusif untuk memperkukuh hubungan mereka.
Namun begitu, menurut pakar perubatan, Dr Ahmad Samhan Awang, terdapat satu amalan mudah yang mampu menyemai semula keintiman dan keharmonian dalam rumah tangga iaitu dengan mandi bersama.
Menerusi satu hantaran di platform media sosial X (dahulunya Twitter), Dr Samhan menjelaskan bahawa amalan mandi bersama bukan sekadar menjimatkan penggunaan air, bahkan menjadi ruang yang kondusif untuk mempereratkan ikatan emosi antara suami dan isteri.
"Ramai menganggap mandi bersama itu perkara remeh atau pelik.
"Namun hakikatnya, ia merupakan antara cara paling mudah untuk mencipta momen intim dan memperkukuh hubungan suami isteri," katanya.
BACA LAGI: Anak trauma lihat ibu kena ikat waktu kecil, kongsi cara jaga pesakit bipolar sampai sembuh
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan 'cheat code', pakar tepis tanggapan suntikan epidural hanya untuk wanita lemah
Dr Samhan menjelaskan bahawa mandi bersama mampu membantu membina hubungan yang lebih erat.
Dr Ahmad Samhan berkongsi beberapa manfaat utama amalan itu yang boleh dipraktikkan oleh pasangan sebagai satu rutin kecil tetapi memberi kesan yang besar terhadap hubungan perkahwinan seperti:
1. Mengukuhkan ikatan tanpa gangguan
Suasana di bilik mandi yang bebas daripada gangguan telefon, televisyen dan urusan luar membolehkan pasangan memberi sepenuh perhatian antara satu sama lain.
Ia menjadi ruang eksklusif untuk sentuhan fizikal dan perbualan intim yang mendekatkan hati.
2. Merangsang hormon cinta
Sentuhan kulit antara pasangan secara semula jadi akan meningkatkan penghasilan hormon oxytocin iaitu hormon yang dikaitkan dengan perasaan sayang, tenang dan rasa dihargai.
Ini membantu membina hubungan yang lebih erat dan penuh kasih sayang.
3. Melembutkan hati selepas pertengkaran
Sekiranya berlaku salah faham atau pertelingkahan, mandi bersama boleh menjadi perantaraan untuk mencetuskan kedamaian.
Dalam suasana yang santai dan tenang, emosi menjadi lebih terkawal dan ego perlahan-lahan surut, sekali gus membuka ruang untuk berbaik semula.
4. Membina kepercayaan dan penerimaan diri
Dengan berkongsi ruang peribadi seperti bilik mandi, pasangan belajar untuk menerima kekurangan fizikal masing-masing tanpa sebarang penilaian.
Ini secara tidak langsung memupuk penerimaan diri dan meningkatkan tahap keintiman yang tulen.
5. Mewujudkan komunikasi yang jujur dan santai
Perbualan ketika mandi seringkali lebih bersifat terbuka dan santai.
Tanpa tekanan formal, pasangan lebih mudah meluahkan perasaan, berkongsi cerita dan menyelesaikan perkara yang terbuku di hati.
6. Merangsang hubungan seksual secara semula jadi
Tanpa perlu dirancang atau dipaksa, interaksi ringkas seperti menyabun pasangan, berkongsi tuala atau gelak ketawa kecil ketika mandi bersama boleh menjadi pencetus kepada hubungan seksual yang lebih mesra dan spontan.
Dr Ahmad Samhan menegaskan, cinta dalam rumah tangga tidak semestinya memerlukan perbelanjaan mewah seperti makan malam romantik atau percutian eksklusif.
Kadangkala, momen yang paling bermakna boleh tercipta hanya dengan air suam, sebuah bilik mandi, dan dua hati yang sudi meluangkan masa bersama.
“Jangan tunggu hari istimewa. Jadikan mandi bersama sebagai rutin kecil yang penuh makna dalam hubungan suami isteri,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram