Jangan tertipu! Ini 5 tanda anda sedang berdepan individu narsisistik


  • Sihat
  • Ahad, 06 Jul 2025

Bukan semua nampak baik itu benar-benar ikhlas. Ada yang pandai berlakon demi kepentingan sendiri. — Gambar hiasan/Freepik AI

TIDAK semua orang yang kelihatan baik itu benar-benar ikhlas. Ada juga pandai berpura-pura, terutama mereka bersifat narsisis.

Individu sebegini bijak menyembunyikan niat sebenar dengan sikap manis, namun pada hakikatnya hanya mementingkan diri sendiri.

Berikut beberapa cara untuk kenal pasti narsisis yang pandai bersembunyi di sebalik imej ‘baik’:

BACA LAGI: Usahawan Sugardoll syukur miliki ibu mentua penyayang, sentiasa melindungi

BACA LAGI: Awas bahan pencuci 'xenoestrogen', risiko si kecil akil baligh awal dari usia sepatutnya — Kajian

Individu yang memiliki sifat narsisistik sering menganggap kritikan sebagai serangan terhadap diri mereka. — Gambar hiasan/Freepik

1. Suka alih perhatian kepada diri sendiri

Narsisis gemar menjadikan semua perbualan berkisar tentang diri mereka. Walaupun pada zahirnya mereka mendengar atau memberi respon, perbualan itu akan tetap kembali kepada pencapaian, masalah atau minat mereka.

Jika anda perasan bahawa apa sahaja topik akhirnya akan berbalik kepada individu itu, ini mungkin petanda jelas.

2. Cepat mengambil pujian, enggan pikul tanggungjawab

Seseorang bersifat narsisis akan pantas tampil apabila ada kejayaan dan tidak teragak-agak mengaku kononnya dia memainkan peranan besar.

Namun, apabila berlaku kegagalan, mereka akan menyalahkan orang lain atau mencari alasan. Ini bukan sekadar kelemahan peribadi, sebaliknya satu corak tingkah laku yang konsisten.

Mereka hanya ingin dilihat ketika suasana positif dan akan mengelak apabila suasana berubah.

3. Sukar mohon maaf dengan ikhlas

Mengaku salah dan memohon maaf memerlukan keberanian serta keikhlasan. Namun bagi seorang narsisis, ini dianggap satu kelemahan.

Mereka lebih cenderung untuk mengelak, memberi alas an atau meminta maaf secara tidak bersungguh.

Jika seseorang sering mengelak tanggungjawab atau memberi permohonan maaf yang hambar, ini mungkin isyarat bahawa mereka tidak benar-benar ikhlas.

4. Tidak boleh terima kritikan

Narsisis biasanya mempunyai ego yang tinggi dan tidak tahan dengan sebarang bentuk kritikan. Mereka akan bertindak defensif, menafikan atau mempersendakan teguran yang diberi.

Malah, mereka melihat kritikan sebagai serangan terhadap diri mereka, bukan sebagai peluang untuk belajar dan berkembang.

Sebaliknya, individu yang ikhlas akan terbuka menerima maklum balas dan berusaha memperbaiki kelemahan.

5. Merasakan diri lebih istimewa daripada orang lain

Narsisis selalunya mempunyai rasa layak yang berlebihan. Mereka percaya bahawa mereka patut dilayan secara istimewa dan peraturan tidak terpakai kepada mereka.

Perasaan inilah yang mendorong mereka untuk melanggar sempadan orang lain atau mengharapkan layanan yang tidak setara.

Jika anda berdepan seseorang yang sering bersikap seolah-olah dunia berputar mengelilinginya, ini mungkin amaran awal.

Kajian oleh Persatuan Psikologi Amerika menunjukkan bahawa narsisis memang pandai menonjolkan diri dalam pertemuan awal.

Namun lama-kelamaan, sifat sebenar seperti perlukan pujian, tiada empati dan sikap terlalu pentingkan diri akan mula kelihatan.

Apa yang paling penting ialah kesedaran.

Perhatikan corak tingkah laku, bukan satu kejadian semata-mata. Semua orang ada kelemahan, tetapi seseorang yang konsisten menunjukkan tingkah laku toksik perlu dijauhi demi menjaga kesihatan mental anda.

Kesimpulannya, mengenal pasti narsisis bukan bermaksud kita perlu menghukum sesiapa.

Sebaliknya, ia adalah langkah perlindungan agar kita tidak terjerat dalam hubungan yang memudaratkan.

Belajarlah mempercayai gerak hati. Jika ada sesuatu yang rasa tidak kena, jangan abaikan perasaan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram