
PENYELIDIK dari China menemui kaedah baharu untuk mengesan penyakit Parkinson lebih awal iaitu melalui analisis tahi telinga atau ear wax.
Penemuan itu dilihat mampu membuka peluang baharu dalam usaha mengesan dan mencegah penyakit yang sehingga kini masih tiada penawar.
Kajian tersebut dijalankan oleh pasukan penyelidik dari Universiti Zhejiang di Guangzhou dan diterbitkan oleh American Chemical Society.
Mereka mendapati bahawa komposisi tahi telinga pesakit Parkinson berbeza dengan individu sihat.
BACA LAGI: Kate Middleton terbuka kongsi liku-liku sembuh dari kanser, akui fasa pemulihan paling sukar
Banyak cara untuk mengesan penyakit Parkinson. — Gambar hiasan
Kajian itu melibatkan lebih 200 sampel dan menunjukkan terdapat perubahan pada empat bahan kimia meruap dalam tahi telinga pesakit.
Menurut penyelidik, perbezaan itu dipercayai berpunca daripada sebum iaitu bahan berminyak yang juga menjadi komponen utama dalam tahi telinga.
Selain daripada ujian tahi telinga, kajian berasingan oleh saintis daripada Quadram Institute di Britain dan European Molecular Biology Laboratory (EMBL) pula menunjukkan wujudnya perubahan ketara pada mikrobiom usus pesakit Parkinson.
Mereka menemui laluan mikroba yang mungkin terlibat dalam pemprosesan bahan kimia berbahaya seperti racun perosak dan pelarut iaitu bahan ada kaitan dengan punca penyakit ini.
Menurut kajian, masalah seperti sembelit, keradangan usus dan kebocoran lapisan usus sering muncul bertahun-tahun sebelum gejala Parkinson yang biasa seperti gegaran atau pergerakan perlahan.
Tidak hanya itu, ujian bau badan (sebum) juga antara kaedah untuk mengesan penyakit Parkinson.
Sebelum ini, kajian oleh Manchester Institute of Biotechnology di United Kingdom mendapati bahawa sebum pesakit Parkinson mempunyai bau dan komposisi kimia yang berbeza.
Dengan menggunakan alat khas dan bantuan individu yang peka terhadap bau, penyelidik dapat mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit ini.
“Sebum boleh dikumpul dengan mudah dari kulit dan tidak menyakitkan. Ini menjadikannya sesuai untuk digunakan dalam saringan kesihatan,” kata ketua penyelidik, Profesor Perdita Barran dalam kajian yang diterbitkan oleh Journal of the American Chemical Society. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram