
'LATAR belakang saya bukan pereka, saya cuma minat kasut,” ujar Pengasas Lania, Che Farah Lamin dalam satu temu bual eksklusif bersama Majoriti baru-baru ini.
Ungkapan ringkas itu menjadi titik mula kepada kelahiran Lania, iaitu sebuah jenama tempatan yang kini dikenali ramai sebagai rekaan kasut praktikal, selesa dan lestari.
Bermula dari minat terhadap kasut, beliau mendapati tiada satu pun jenama yang benar-benar memenuhi gabungan kehendak estetik dan keselesaan dalam satu rekaan.
"Kenapa kasut ini cantik tapi tak muat? Kenapa muat tapi tak selesa?," kongsinya yang kemudian menjadikan persoalan itu sebagai pencetus utama kepada penciptaan jenama sendiri.
Bagi Farah, beliau lebih mementingkan praktikaliti berbanding reka bentuk.
Rekaan balet
Salah satu tarikan utama Lania adalah rekaan berasaskan ala balet.
Walaupun konsep asal balet bersifat asas dan ringkas, Farah melihat potensi besar dalam penggunaannya harian, malah menambah baik bentuk dan struktur tapaknya agar lebih mesra kaki wanita Malaysia yang kebanyakannya memiliki saiz lebar.
Kasut balet Lania tidak menggunakan potongan tradisional berbentuk 'U', sebaliknya menggunakan bentuk segi empat yang lebih sesuai untuk individu berkaki lebar seperti bunion (keadaan tulang menonjol di ibu jari kaki).
"Kalau pakai kasut bentuk V, akan rasa tersepit dan sakit. Jadi, kami olah ikut keperluan itu," jelasnya sambil menambah nama Lania diambil sempena gabungan nama ibu bapanya.
Tidak kejar trend, mesra alam
Berbeza daripada jenama kasut lain, Lania mengambil pendekatan lebih lestari yang mana setiap rekaan tidak mengikut musim atau trend semasa.
“Satu rekaan boleh bertahan dua ke tiga tahun,” jelas Farah yang sudah mengusahakan perniagaannya selama hampir 10 tahun.
Warna-warna yang dipilih juga bersifat evergreen, sesuai dipadankan dengan pelbagai gaya, daripada rona earth tone kepada warna bold yang sedang mendapat tempat di pasaran.
"Di Lania, kami lebih fokus kepada trend yang ringkas tapi masih boleh padankan dengan pelbagai gaya. Jadi, ia memberi ketenangan sedikit kepada si pemakai kerana tidak perlu bimbang tentang padanan penampilan mereka," ujarnya.
Mengulas mengenai penghasilan kasutnya, beliau berkata, proses penghasilan kasut juga mengambil masa kerana jenamanya menekankan kualiti dan kelestarian.
Menggunakan sistem pra-tempahan, Lania mengelak lebihan stok dan memastikan setiap pasangan kasut bebas daripada kerosakan.
Tambah beliau, bahan yang digunakan ialah kulit poliuretana (PU) yang mesra alam dan vegan-friendly.
"Kami tak mahu pengeluaran berlebihan, Yang penting, setiap pasang berkualiti.
“Yang lambat tu selalunya yang berkualiti. Kami tak mahu orang kecewa apabila kasut sampai tapi ada gam tercabut atau jahitan rosak,” ujarnya.
Gambar janaan AI strategi pemasaran
Selain itu, ibu kepada seorang anak itu turut menjawab persoalan mengenai penggunaan gambar janaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pemasarannya.
Beliau menyifatkan ia sebagai langkah praktikal berikutan ia menjimatkan masa dan kos.
"Kalau lakukan penggambaran, kami perlu memikirkan konsep, kempen tertentu, perlu beli prop. Sewa studio pun melibatkan kos yang agak tinggi, jadi kami sebolehnya mahu mengurangkan perbelanjaan," jelas beliau.
Sebaliknya, dengan AI, visual boleh dijana mengikut visi yang diinginkan.
"Kalau belajar cara yang betul, gambar AI boleh hasilkan pencahayaan dan vibe sama seperti visi kita sendiri," kongsi beliau.
Farah juga menolak pandangan negatif yang menganggap gambar AI menipu pembeli.
“Yang jadi lain tu apabila orang tak tahu cara gunakan teknologi tersebut. Tapi kalau faham cara hasilnya memang sama macam rekaan sebenar, malah lebih kemas,” katanya.
Pun begitu, Lania tetap berkongsi gambar dan video sebenar dari kilang atau koleksi semasa, khususnya di Instagram Story.
“Story tu untuk komuniti kami, jadi kami ada belanja sikit gambar asal. Nak lebih, kenalah jadi komuniti,” seloroh Farah.
Mengulas soal kritikan, Farah mengakui ada beberapa komen daripada orang luar yang tidak mengikuti jenama. Namun, penggemar biasanya akan meminta gambar sebenar secara peribadi.
Terus praktikal
Berkongsi mengenai hala tuju jenama, Farah menegaskan bahawa Lania kekal dengan prinsip asal, iaitu mengutamakan rekaan praktikal berbanding mengejar trend semasa.
“Rekaan adalah nombor dua. Yang penting kasut tu praktikal,” katanya tegas.
Farah turut mendedahkan bahawa pihaknya kini sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk satu rekaan baharu yang dianggap rekaan 'luar kotak' dalam dunia kasut tempatan.
“Kami sedang R&D satu rekaan baharu yang saya rasa belum pernah dibuat di Malaysia. Ia bukan sekadar kasut, tapi ada fungsinya tersendiri,” katanya, sambil merahsiakan butiran lanjut kerana ia masih dalam proses pembangunan.
Meskipun tidak memberi tarikh pelancaran, Farah percaya inovasi tersebut bakal mengukuhkan lagi jenama Lania sebagai pelopor dalam segmen kasut praktikal yang memenuhi keperluan sebenar wanita moden. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram