
WALAUPUN baru sembilan lapan tahun, Max Alexander bukan sekadar bakat masa depan dalam dunia fesyen, malah beliau sudah pun memberi kesan besar kepada industry fesyen hari ini.
Segalanya bermula apabila Max yang ketika itu baru berusia empat tahun meminta ibunya, Sherri Madison, membelikan patung mannequin supaya beliau boleh mula belajar menjahit.
Sejak itu, beliau telah menghasilkan lebih daripada 100 gaun couture rekaan sendiri, mengadakan pertunjukan fesyen, dan mereka pakaian untuk selebriti terkenal seperti Sharon Stone dan Debra Messing.
BACA LAGI: Praktikaliti jadi keutamaan, Lania tampil kasut balet comel, buat wanita berkaki lebar
Salah satu rekaan Max yang diperagakan ketika NYFW pada September tahun lalu dihasilkan menggunakan tali leher sebagai bahan utama. — Instagram/@couture.to.the.max
Kehebatan Max dalam dunia fesyen juga diiktiraf apabila beliau berjaya memegang Rekod Dunia Guinness sebagai pereka fesyen paling muda yang pernah mengadakan pertunjukan fesyen sendiri.
Bagi Max, itu adalah pencapaian yang paling membanggakan dalam hidupnya setakat ini.
“Saya ingat saya akan dapat anugerah ini apabila umur 10 tahun atau mungkin lebih,” katanya sambil tersenyum.
Pada ketika itu, beliau tampil bergaya dengan blazer kelabu, seluar pendek yang dilipat kemas, rantai mutiara dan sandal Gucci.
Gaya kasut gladiator yang dipakainya juga nampak sangat serasi, lebih-lebih lagi kerana beliau pernah berkongsi bahawa beliau percaya dirinya mungkin pernah menjadi pengasas rumah fesyen Gucci dalam kehidupan lampau.
Setiap rekaan ada ceritanya
Apa yang menjadikan Max berbeza ialah setiap rekaan yang dihasilkannya mempunyai identiti dan gaya tersendiri.
Dalam acara New York Fashion Week yang diadakan di sebuah hotel di New York baru-baru ini, Max mempersembahkan koleksi terbaharu yang mengandungi enam gaun yang belum pernah ditampilkan sebelum ini.
Ada gaun yang diperbuat daripada tali leher, ada juga yang menggunakan beg kopi terpakai sebagai bahan utama.
Antara rekaan kegemaran Max dalam koleksi tersebut ialah 'gaun bunga', iaitu gaun pengantin lama yang diolah semula menjadi lebih ceria dengan hiasan kain mesh dan organza berwarna-warni.
Beliau menghias bahagian leher hingga ke bawah skirt dengan bunga-bunga fabrik berwarna pelangi.
Lebih gemar kitar semula
Selain berbakat besar, Max juga sangat prihatin terhadap isu alam sekitar. Beliau tidak menyokong konsep fesyen pantas atau fast fashion yang membazirkan banyak bahan.
Sebaliknya, beliau lebih suka menggunakan kain lama atau bahan kitar semula untuk menghasilkan rekaan baharu.
Dalam beberapa koleksi terbaharunya, beliau menggunakan beg kopi dan tekstil lama sebagai bahan utama.
Namun, itu tidak bermakna beliau tidak membeli kain baharu langsung. Menurut ibunya, kedai kain Mood Fabrics di New York merupakan tempat kegemaran Max.
Setiap kali melangkah ke kedai kain, Max biasanya membiarkan nalurinya menentukan pilihan. Kadangkala beliau sudah ada idea, tetapi ada juga masanya kain yang dipilih akan memberi inspirasi rekaan yang baharu.
Rekaan keduanya di NYFW menampilkan gaun motif floral rona pelangi. — Instagram/@couture.to.the.max
Sentiasa dapat ilham baharu
Max berkata beliau sering mendapat idea daripada persekitaran, terutamanya alam semula jadi. Sebelum menghasilkan koleksi, beliau akan tentukan dahulu tema yang ingin diketengahkan.
“Saya fikir dulu tema koleksi itu, selepas itu baru saya buat gaun yang sesuai. Kalau temanya musim luruh, mungkin saya akan buat kot. Tapi kalau ada baju mandi dan jaket tebal dalam satu koleksi, itu tidak sesuai," katanya.
Bagi Max, setiap rekaan perlu saling melengkapi antara satu sama lain supaya koleksi yang dihasilkan menjadi lengkap.
Selepas selesai pertunjukan di NYFW, Max belum pasti apa projek seterusnya. Tetapi apabila ibunya mengingatkan bahawa mereka masih ada lebihan beg kopi di rumah, Max terus terfikir tentang idea baharu.
“Oh ya, mungkin saya boleh buat ‘gaun kopi ketiga’,” katanya sambil memandang ibunya. Ibunya bukan sekadar memberi sokongan moral, malah turut membantu menjahit jika Max mula membuat rekaan sebelum beliau ke sekolah.
Kongsinya lagi, seorang ahli keluarga pernah meminta Max menghasilkan jaket khas menggunakan beg kopi berwarna biru.
Max menerima permintaan itu dan menyatakan bahawa beliau sudah pun mempunyai bahan yang sesuai untuk menjayakan rekaan tersebut.
Kreativiti datang secara semula jadi
Apa pun projek selepas ini, satu perkara yang pasti ialah Max sentiasa dipenuhi dengan idea. Bagi kanak-kanak yang sudah mengukir nama di pentas antarabangsa, beliau sangat santai dan yakin dengan dirinya.
“Saya selalu sahaja terfikir benda baharu secara tiba-tiba,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram