Jual 'makeup' lagi untung dari menyanyi, ini strategi Rihanna sampai raih status bilionair melalui Fenty Beauty


  • Gaya
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Daripada pentas muzik ke dunia perniagaan, Rihanna membina empayar kecantikan yang kini menjadikannya seorang jutawan. — Instagram/@fentybeauty

SIAPA sangka penyanyi yang pernah mendominasi carta Billboard kini menjana kekayaan luar biasa bukan daripada muzik, tetapi daripada dunia kosmetik?

Rihanna atau nama penuhnya Robyn Rihanna Fenty, bukan sekadar seorang artis. Beliau adalah simbol transformasi dalam industri kecantikan moden.

Walaupun kerjayanya dalam muzik sangat mengagumkan, kekayaan sebenar Rihanna terhasil daripada empayar kecantikan miliknya, Fenty Beauty.

BACA LAGI: Kesan setanding merokok, duduk terlalu lama undang risiko penyakit jantung dan kanser

BACA LAGI: Baru kahwin tak sampai 2 minggu, mendiang Diogo Jota tinggalkan kekasih zaman sekolah, 3 cahaya mata

Pilihan 40 tona asas solekan keluaran Fenty Beauty menjadi titik perubahan besar dalam pasaran kosmetik global. — Instagram/@fentybeauty

Jenama tersebut menjana pendapatan tahunan ratusan juta dolar, melebihi jumlah keseluruhan yang beliau hasilkan sepanjang dua dekad sebagai penyanyi.

Dari bintang muzik ke ikon perniagaan

Pada 2005, Rihanna yang ketika itu baru berusia 17 tahun menandatangani kontrak rakaman pertamanya dengan Def Jam Recordings di Amerika Syarikat (AS).

Lagu sulungnya, Pon de Replay menjadi sensasi global. Sejak itu, beliau terus mencipta nama dengan 14 lagu yang menduduki tangga pertama di carta Billboard Hot 100, memenangi sembilan anugerah Grammy dan menjual lebih 250 juta rekod di seluruh dunia.

Namun di sebalik segala kejayaan dalam muzik, Rihanna sentiasa merasakan ada satu kekosongan dalam pasaran kecantikan yang belum diisi.

Tona kulit yang sering diabaikan

Sebagai wanita berkulit gelap, Rihanna menghadapi kesukaran mencari asas solekan (foundation) yang sesuai dengan tona kulitnya.

Kebanyakan jenama kosmetik tidak menyediakan pilihan yang mencukupi, menyebabkan ramai wanita berkulit gelap dan sawo matang terasa terpinggir.

“Tiada satu pun warna yang benar-benar sepadan dengan kulit saya,” katanya. Daripada pengalaman peribadi ini, Rihanna mendapat inspirasi untuk mencipta sesuatu yang lebih inklusif.

Jika industri kecantikan tidak mahu berubah, beliau akan mencipta perubahan itu sendiri.

 

 

Kerjasama pertama dengan MAC Cosmetics

Pada tahun 2013, Rihanna bekerjasama dengan MAC Cosmetics melalui koleksi mekap edisi khas.

Tanpa dijangka, koleksi tersebut berjaya mencatat jualan sebanyak 40 juta dolar AS dalam tempoh singkat.

Pihak pengurusan MAC menganggap projek berkenaan sebagai kejayaan besar.

Bagi Rihanna pula, ia merupakan isyarat bahawa beliau memiliki kuasa pengaruh yang jauh lebih luas daripada sekadar bidang muzik.

Pelancaran Fenty Beauty

Pada 2016, Rihanna menerima tawaran istimewa daripada syarikat barangan mewah terbesar dunia, Louis Vuitton Moet Hennessy (LVMH).

Mereka ingin bergabung secara eksklusif dengan Rihanna, menjadikannya selebriti muzik pertama yang memiliki kerjasama pemilikan bersama dengan LVMH.

Setahun kemudian, pada September 2017, Fenty Beauty dilancarkan. Ia hadir dengan 40 tona warna asas solekan, sesuatu yang luar biasa ketika itu memandangkan kebanyakan jenama hanya menawarkan sekitar 12 tona.

Slogan utamanya jelas, iaitu 'kecantikan untuk semua.'

 

 

Jualan luar biasa dan kesan besar

Hanya dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan, Fenty Beauty mencatat jualan sebanyak 100 juta dolar AS.

Rihanna bijak menggunakan kekuatan 100 juta pengikutnya di media sosial, menjadikan mereka pelanggan pertama dan dan juga penyokong jenama paling berpengaruh.

Fenomena ini dikenali sebagai 'Kesan Fenty', apabila jenama-jenama lain mula menambah jumlah tona warna produk mereka bagi memenuhi keperluan semua jenis kulit.

Rihanna bukan sahaja menjual mekap, malah mencetuskan revolusi dalam industri kecantikan global.

Selepas Fenty Beauty, barulah Rihanna digelar jutawan

Kejayaan Fenty Beauty menjadi titik tolak utama yang mengubah status kewangan Rihanna secara drastik. Sebelum melancarkan jenama ini, Rihanna hanyalah seorang jutawan yang berjaya melalui muzik.

Namun, selepas Fenty Beauty diperkenalkan kepada dunia, kekayaannya melonjak.

Pada 2021, majalah Forbes mengiktiraf Rihanna sebagai jutawan wanita termuda yang mencapai kekayaan hasil usaha sendiri di AS.

Walaupun muzik hanya menjana kira-kira 250 juta dolar AS sepanjang kerjayanya, Fenty Beauty mencatat pendapatan tahunan melebihi 567 juta dolar.

Menjelang 2025, nilai bersih Rihanna dianggarkan sebanyak 1.4 bilion dolar AS, sebahagian besarnya hasil pegangan 50 peratus dalam Fenty Beauty.

Selain itu, beliau turut menguruskan jenama pakaian dalam Savage X Fenty yang juga mendapat sambutan hangat.

Rihanna membuktikan bahawa kejayaan bukan sekadar datang daripada bakat, tetapi daripada kebolehan memahami keperluan orang ramai dan menawarkan penyelesaian sebenar.

Beliau melihat jurang dalam pasaran dan berjaya mengisi kekosongan tersebut dengan produk yang benar-benar diperlukan.

Daripada seorang gadis muda di Barbados, Rihanna kini menjadi tokoh perniagaan global.

Fenty Beauty bukan sahaja menjadikan beliau jutawan, malah mengubah cara industri kecantikan melihat kepelbagaian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram