
RAMAI ibu bapa tidak sedar bahawa momen harian bersama anak-anak semakin jarang dirakam, apatah lagi disimpan untuk dijadikan kenangan.
Dalam kesibukan mengurus rutin dan tanggungjawab harian, aktiviti merakam gambar atau video keluarga sering dianggap remeh atau ditangguhkan.
Sedangkan gambar dan video yang kelihatan biasa hari ini mungkin menjadi memori yang paling berharga pada masa akan datang, bukan sahaja untuk ibu bapa, tetapi juga buat anak-anak sendiri.
BACA LAGI: Kencing manis ketika hamil bukan pengakhiran, bayi berpotensi lahir sihat, 3 cara kawal GDM
BACA LAGI: Si cilik Sarawak dinobat Royal Grand Winner WJTA 2025
Baru-baru ini, seorang ibu, Noor Jehan, 41, berkongsi pengalamannya di Threads apabila anak lelaki sulung berusia 16 tahun tiba-tiba menangis teresak-esak selepas pulang dari surau.
“Saya tanya macam-macam. Sakit ke? Ada masalah ke? Tapi beliau hanya menggeleng. Beliau cuma terus menangis dan peluk saya kuat-kuat,” tulisnya.
Selepas dipujuk, remaja tersebut akhirnya menunjukkan skrin telefon bimbit. Rupa-rupanya, beliau sedang melihat gambar-gambar lama yang pernah dimuat naik oleh ibu di Instagram.
“Beliau cakap, ‘saya rindu masa dulu-dulu.’ Saya benar-benar tersentuh,” kongsinya.
Kongsi ibu kepada empat orang anak itu lagi, dahulu beliau sering merakam dan memuat naik gambar anak-anak kerana ketika itu beliau adalah suri rumah sepenuh masa.
Namun sejak kehidupan semakin sibuk, kebiasaan itu semakin jarang dilakukan.
“Apabila anak-anak dah besar, kita (ibu bapa) pun kurang ambil gambar. Tapi rupanya mereka masih tengok, masih ingat,” katanya.
Menurut beliau, banyak kenangan mungkin tidak akan berulang, tetapi ia boleh dikenang semula apabila ada bahan visual yang tersimpan.
“Mungkin daripada gambar-gambar itu datangnya kasih sayang, rindu dan perasaan dihargai,” tulisnya lagi.
Beliau turut menyeru ibu bapa untuk terus merakam dan menyimpan momen-momen keluarga, sama ada untuk dimuat naik ke media sosial atau dicetak sebagai album peribadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram