
SIAPA sangka usia bukan penghalang untuk menggapai impian membaca al-Quran.
Itulah perkongsian seorang wanita mengambil masa hampir sedekad untuk menamatkan bacaan Iqra demi mengejar sesuatu yang pernah dianggap mustahil.
Menginjak usia 45 tahun, seorang wanita meluahkan rasa syukur selepas berjaya menamatkan bacaan Iqranya dan kini bakal memulakan perjalanan membaca Al-Quran.
BACA LAGI: Dari temu bual ke rakan kongsi spa, Tyra dan Raja Amanda mampu raih lebih RM100,000 sebulan
Dalam satu hantaran di media sosial, wanita tersebut berkongsi momen apabila mengakui tidak mengenali huruf bahasa Arab sewaktu menyertai kelas mengaji pada usia 36 tahun.
"Alhamdulillah, hari ini berjaya habiskan Iqra. Bukan sebab ibu bapa tak hantar mengaji, tapi saya agak nakal.
"Masuk umur 36, ikut serta orang mengaji tapi malu sebab alif ba ta pun tak kenal. Dalam diam, usaha belajar sana sini. Mencabarnya," kongsi pemilik nama Alin Khairudin itu.
Wanita itu mengambil masa enam tahun untuk menamatkan bacaan Iqra, melalui proses belajar dan berhenti beberapa kali sebelum akhirnya benar-benar tekad untuk memulakannya semula pada 1 Mac lalu.
"1 Mac lalu saya nekad ulang lagi Iqra 1. Hari ini, usia 45 tahun, akhirnya saya naik al-Quran. Seronok sangat. Ia tak pernah lambat untuk memulakan.
Kawan-kawan, doakan saya terus istiqomah," tulisnya dalam hantaran yang turut disertakan dengan gambarnya memakai telekung rona kelabu sambil memegang al-Quran sebagai kenangan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang memberi sokongan dan mendoakan agar beliau terus istiqamah.
"Alhamdulillah, hanya dengan niat yang betul akan dipermudahkan usaha. Guru yang betul juga sangat membantu," komen pengguna @hrlivelife sambil berkongsi pengalaman sendiri berdepan guru yang bersikap judgmental.
"Gembira untuk awak. Tak mengapa, abaikan komen negatif. Saya bangga dengan awak!," ujar @shafizamerry.
“Tahniah. Jangan pernah rasa terlambat. Orang yang pandai pun perlu ulang kaji tajwid dan sebutan. Dalam hal al-Quran, tiada istilah sudah pandai kerana jika tidak diamalkan, lidah akan jadi keras," jelas @arakayla.
"Bertabah ya. Perkongsian awak beri semangat dan motivasi kepada saya untuk terus mendalami al-Quran. Jangan malu cari ilmu," kata @athealittlepiece. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram