'Mereka bukan tukang jahit percuma', pensyarah fesyen tegur penata gaya cuba eksploitasi rekaan pereka muda


  • Gaya
  • Khamis, 03 Jul 2025

Faizal Hamid menegaskan, pelajar fesyen wajar diberi bayaran setimpal dan dihormati sebagai rakan kerjasama, bukan sekadar penyedia pakaian percuma. — Instagram/@faizal_hamid

PEREKA muda sering dilihat sebagai tenaga baharu yang segar dan kreatif. Namun, di sebalik bakat mereka, wujud satu realiti yang membimbangkan, iaitu meminjamkan pakaian secara percuma atas alasan memberi pendedahan.

Tanpa ganjaran setimpal, ramai pelajar fesyen terpaksa menyerahkan hasil kerja mereka secara percuma kepada penata gaya atau produksi yang menjanjikan publisiti semata-mata.

Isu tersebut dibangkitkan baru-baru ini oleh pensyarah Fakulti Seni Reka Fesyen UiTM, Faizal Hamid yang tampil memberi peringatan kepada industri terlibat agar lebih bertanggungjawab dan menghormati usaha pereka muda.

BACA LAGI: Ilham dari hujan, sentuhan kreatif wanita Taiping 'upcycle' biji kopi jadi aksesori unik

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bali bukan untuk dijual', wanita suarakan kebimbangan terhadap komersialisasi 'tanah suci'

Dalam satu hantaran di Facebooknya, beliau menegaskan bahawa 'pendedahan' yang dijanjikan tidak mampu membayar kos cucian kering, pengangkutan, pengeluaran, mahupun masa yang dilaburkan pelajar untuk menghasilkan koleksi mereka.

Beliau turut menegur tindakan menawarkan bayaran kecil yang tidak setimpal kerana ia bukan satu bentuk sokongan terhadap bakat muda, sebaliknya perbuatan yang mengambil kesempatan atas usaha mereka.

“Ini bukan hobi. Mereka ialah pereka muda yang serius yang gunakan sumber terhad mereka sendiri untuk hasilkan rekaan yang lahir daripada penyelidikan dan kemahiran,” katanya.

Beliau menggesa agar penata gaya yang benar-benar mahu menyokong pereka muda supaya membayar dengan adil, menghormati perjanjian pinjaman dan berkomunikasi secara professional.

Pelajar menurutnya harus dianggap sebagai rakan kolaborasi, bukan pembekal pakaian percuma.

Faizal turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk menghentikan budaya menganggap pelajar perlu bersyukur hanya kerana nama mereka disebut.

“Rasa syukur semata-mata tidak mampu membina kerjaya yang stabil,” katanya.

 

 

Hantaran pensyarah tersebut turut mendapat sokongan penata gaya tempatan, Haida Yusof.

Dalam hantaran di Threads miliknya, Haida mendedahkan wujud penata gaya yang menggunakan bajet besar tetapi membayar rendah kepada tenaga kerja, selain memaksa pereka muda menyiapkan rekaan dalam keadaan tergesa-gesa.

“Ramai yang guna alasan ‘pendedahan’ untuk ajak pelajar bekerjasama, tapi tetap bayar rendah. Baju pula dikerah siap cepat, terlalu sarat dan tiada langsung proses penambahbaikan,” tulisnya.

Beliau turut menasihati pelajar agar lebih tegas dalam menetapkan syarat kerjasama dan tidak mudah berkompromi.

"Jangan terima kerja kalua tak dibayar dengan adil. Pereka muda pun berhak ada suara dan input mereka sendiri. Jual mahal sikit," pesan Haida. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel danTelegram