
LANGIT bukan lagi sekadar laluan pesawat, ia juga bertindak sebagai 'pentas fesyen' yang bergerak.
Dalam dunia penerbangan, seragam pramugari bukan sahaja mencerminkan identiti sesebuah syarikat, malah menjadi simbol gaya, budaya dan era yang dilalui.
Dari potongan anggun haute couture hingga rekaan berani ala angkasa lepas, setiap helaian menceritakan kisah bagaimana fesyen dan penerbangan bergabung mencipta gaya yang kekal dalam ingatan sepanjang zaman.
Berikut sembilan rekaan uniform pramugari paling berpengaruh dalam sejarah:
1. Giorgio Armani – Alitalia (1991)
Syarikat penerbangan kebangsaan Itali, Alitalia menaikkan imej mereka apabila pereka terkenal Giorgio Armani mereka semula seragam pramugarinya pada 1991.
Rekan beliau menampilkan gaya jaket butang dua yang menjadi signatur jenama Armani dengan pilihan warna-warna neutral.
Blazer berwarna hijau tentera dipadankan dengan kemeja hijau lembut, sapu tangan rona merah jambu diselit di poket dada dan skirt paras lutut berwarna coklat muda melengkapkan gaya keseluruhan.
2. Emilio Pucci – Braniff International Airways (1960)
Pada awal tahun 1960-an, pereka fesyen terkenal Emilio Pucci mencipta seragam yang sangat ikonik untuk pramugari Braniff International Airways.
Tidak banyak seragam yang boleh menandingi keunikan dan keberanian rekaan Emilio Pucci untuk syarikat penerbangan itu
Dengan rekaan polos yang bermain dengan warna-warna terang dan ceria, Emilio menjadikan seragam ini bukan sekadar pakaian kerja, malah ia menjadi lambang perubahan dalam dunia fesyen penerbangan.
3. Yves Saint Laurent – Qantas Airways (1986)
Qantas bekerjasama dengan maestro fesyen Perancis, Yves Saint Laurent pada tahun 1986. Seragam rekaannya menampilkan potongan kemas berwarna biru gelap dan merah, menggambarkan gabungan semangat moden Australia dan gaya mewah Paris.
4. Vivienne Westwood – Virgin Atlantic (2014)
Ikon punk Britain, Vivienne Westwood membawa kelainan kepada seragam Virgin Atlantic dengan rekaan berani dan mesra alam.
Sut merah yang ketat dan bergaya ini diperbuat daripada bahan lestari, mencerminkan semangat bebas dan komitmen Vivienne terhadap kelestarian.
5. Andre Courreges – UTA (1973)
Pereka futuristik dari Perancis, Andre Courreges memperkenalkan gaya moden dan berunsur angkasa lepas kepada seragam UTA (Union de Transports Aériens) pada 1973.
Koleksi seragam rekaan Andre menampilkan pilihan skirt atau seluar potongan lebar, dipadankan dengan sweater ketat dan jaket pendek kulit tiruan.
6. Cristóbal Balenciaga – Air France (1969)
Tokoh besar dunia haute couture, Balenciaga mereka seragam untuk Air France sebelum bersara.
Hasilnya ialah rekaan elegan yang tidak lapuk dek zaman iaitu sut biru tua dan kelabu yang bergaya, sesuai dengan reputasi Perancis sebagai pusat fesyen dunia.
7. Valentino – TWA (1971)
Pada 1971, pereka fesyen Itali terkenal, Valentino mereka seragam khas untuk pramugari Trans World Airlines (TWA) yang mencerminkan gaya glamor era 70-an.
Seragam ini hadir dalam pilihan warna ungu, coklat atau beige dan diperbuat daripada fabrik poliester knit serta mudah digayakan.
Reka bentuknya merangkumi minidress ketat, seluar panjang dan kot panjang bergaya, semuanya dihiasi dengan butang ikonik Valentino serta skaf padanan.
8. Christian Lacroix – Air France (2005)
Pada 2005, Air France sekali lagi tampil bergaya dengan menjemput Christian Lacroix untuk mereka seragam baharu.
Rekaan hitam anggun dengan ikatan tali pinggang reben merah pada gaun pramugari
Setiap perincian dititikberatkan untuk menyerlahkan gaya couture yang kemas dan mewah.
9. Dior – Air France (1963)
Pengaruh Dior tidak terhenti di pentas peragaan sahaja. Pada tahun 1963, beliau mereka seragam untuk Air France yang penuh dengan keanggunan dan kehalusan wanita Perancis.
Rekaan ini dikhaskan untuk musim sejuk dan menampilkan potongan diinspirasikan daripada gaya aeroangkasa yang kemas, praktikal dan selari dengan imej moden penerbangan pada ketika itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram