Faham, teliti kondisi anak 'speech delay', panduan praktikal buat ibu bapa


  • Bonda
  • Selasa, 01 Jul 2025

Menghadapi ujian anak lambat bercakap bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti. — Gambar Hiasan/Freepik

DALAM era digital yang serba pantas ini, ramai ibu bapa mula risau apabila anak mereka lambat bercakap berbanding rakan sebaya.

Situasi itu sering menimbulkan kebimbangan dan tekanan, terutamanya apabila media sosial dipenuhi dengan pelbagai pendapat serta nasihat yang kadang kala membingungkan.

Namun, penting untuk diingat bahawa setiap anak berkembang mengikut rentak tersendiri dan ada langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu mereka mengatasi kelewatan bercakap atau 'speech delay'.

BACA LAGI: Ibu bapa bercerai, pembelajaran anak terabai: Cara tangani dilema didik anak dalam dua suasana berbeza

BACA LAGI: 'Mesej setiap hari', wanita dementia lupa arwah suami meninggal dunia 3 tahun lepas

Jangan panik, ini cara mudah  

Saleha Rahim, seorang ibu dan pendidik yang aktif berkongsi pengalaman di platform Threads, menasihatkan agar ibu bapa tidak panik apabila menghadapi situasi anak lambat bercakap.

Beliau menekankan beberapa pendekatan praktikal yang boleh diamalkan di rumah:

1. Banyakkan berbual secara normal

Elakk menggunakan bahasa pelat atau suara yang tidak jelas.

Gunakan bahasa yang biasa dan jelas supaya anak dapat meniru dengan tepat.

Perbualan yang kerap dan konsisten akan merangsang perkembangan bahasa anak secara semula jadi.

2. Mulakan perkataan dua suku kata  

Perkenalkan perkataan mudah seperti 'susu', 'saya', 'sini'  atau 'sana'.

Galakkan anak untuk mengikut dan mengulang perkataan tersebut secara perlahan-lahan.

Teknik itu membantu anak mengenal struktur asas bahasa dan memudahkan mereka menguasai perkataan baharu.

3. Pilih tadika selepas anak cecah dua tahun

Apabila anak sudah berusia lebih dua tahun, ibu bapa boleh mula mencari tadika yang terbaik.

Persekitaran yang kaya dengan interaksi sosial dan komunikasi akan memotivasikan anak untuk belajar bercakap.

Melihat guru serta rakan-rakan sebaya bercakap akan menjadi dorongan positif untuk mereka cuba meniru dan bercakap.

Membaca buku cerita bersama anak bukan sahaja memperkenalkan kosa kata baharu, malah membantu mereka memahami struktur ayat. — Gambar hiasan/Freepik

Selain panduan daripada Saleha, beberapa pakar perkembangan kanak-kanak turut mencadangkan langkah berikut untuk membantu anak yang mengalami kelewatan bercakap.

4. Gunakan bahasa isyarat ringkas

Mengajar anak beberapa isyarat mudah seperti 'makan', 'minum' atau 'tamat' dapat membantu mereka berkomunikasi walaupun belum mampu bercakap sepenuhnya.

Ini juga mengurangkan rasa frustrasi dan membina keyakinan dalam berkomunikasi.

5. Bacak buku cerita 

Membaca buku cerita setiap hari bersama anak bukan sahaja memperkenalkan kosa kata baharu, malah membantu mereka memahami struktur ayat dan meningkatkan daya tumpuan.

Pilih buku bergambar dengan ayat ringkas dan berwarna-warni untuk menarik minat anak.

6. Had penggunaan skrin, galak interaksi fizikal

Walaupun teknologi boleh menjadi alat pembelajaran, penggunaan skrin yang berlebihan boleh mengganggu perkembangan bahasa anak.

Ibu bapa digalakkan untuk mengurangkan masa anak menonton televisyen atau bermain telefon pintar dan lebihkan masa bermain serta berinteraksi secara langsung.

Menghadapi ujian anak lambat bercakap bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti.

Dengan kesabaran, pendekatan yang betul dan sokongan daripada persekitaran kondusif, anak dapat berkembang mengikut kemampuan mereka.

Ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak secara jelas, memperkenalkan perkataan mudah dan menyediakan persekitaran yang merangsang perkembangan bahasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram