Urutan gua sha penaik seri semula jadi, Dr. Nadzirah kongsi langkah mudah diikuti


  • Gaya
  • Selasa, 01 Jul 2025

Gua sha memberi manfaat seperti menegangkan wajah, mengurangkan sembap dan menjadikan kulit lebih berseri. — Gambar hiasan/Agensi

PERNAHKAH anda mendengar istilah ‘gua sha’?

Buat individu yang tidak menggemari dunia kecantikan, istilah ini mungkin mengingatkan kepada gua yang terletak di kawasan hutan, berbatu konkrit dan sering dikaitkan dengan kisah mistik.

Namun begitu, gua sha yang dimaksudkan di sini bukanlah gua tersebut.

Sebaliknya, gua sha merujuk kepada alat khusus yang digunakan untuk mengurut bahagian otot, melancarkan aliran limfa, dan meningkatkan kesihatan serta seri wajah.

BACA LAGI: Guru kerap cuti panjang, mesyuarat PIBG tak dapat sambutan antara 20 tanda sekolah 'red flag'

BACA LAGI: Mekap bercapuk walau guna semburan? Mungkin anda keliru fungsi 'setting spray' dan 'fixing spray'

Seiring perkembangan zaman, gua sha kini hadir dengan menggunakan batu jed yang lebih moden. — Gambar hiasan/Freepik

Kaedah rawatan kulit yang kini kembali menjadi trend ini sebenarnya merupakan amalan perubatan tradisional masyarakat Cina sejak ribuan tahun dahulu.

Sebutan asalnya ialah gwa-shah, di mana 'gua' bermaksud scrape (mengikis) dan 'sha' pula merujuk kepada kemerahan yang muncul pada kulit selepas rawatan dilakukan.

Ia turut dikenali dengan pelbagai nama lain seperti scraping, spooning dan coining.

Menurut catatan sejarah, kaedah ini dipercayai telah diamalkan sejak zaman Paleolitik. Namun, penggunaannya mula menjadi lebih sistematik dan meluas di China ketika era pemerintahan Dinasti Ming antara tahun 1368 hingga 1644.

Seiring perkembangan zaman, alat tradisional seperti batu kini digantikan dengan batu kristal yang lebih estetik seperti rose quartz, amethyst dan jed.

Baru-baru ini, pakar kecantikan Dr. Nadzirah Abdullah berkongsi di akaun Threads miliknya mengenai cara mudah menggunakan gua sha di rumah serta manfaatnya terhadap kesihatan kulit.

 

 

Langkah-langkah menggunakan gua sha:

1. Sediakan gua sha dan pelincir wajah

Dr. Nadzirah menyarankan agar pengguna menyediakan pelembap, minyak muka, atau serum bagi memudahkan pergerakan gua sha di atas permukaan kulit tanpa mencederakannya.

2. Mulakan di bahagian dada

Langkah pertama ialah menyapu minyak dan mengurut lembut di bahagian dada. Ini penting untuk ‘membuka’ saluran limfa bagi melancarkan aliran bendalir keseluruhannya.

3. Teruskan ke leher dan tepi wajah

Lakukan gerakan menurun dari bahagian leher ke arah tulang selangka. Ulang beberapa kali secara perlahan dan elakkan tekanan yang terlalu kuat.

4. Fokus di belakang telinga dan garis rahang

Gunakan hujung alat untuk membuat pergerakan wiggle di belakang telinga, kawasan yang sering mempunyai simpulan otot.

Untuk bahagian rahang, gerakkan alat dari bawah dagu ke arah tepi telinga dan ulang beberapa kali.

5. Sapuan lembut di bawah mata dan dahi

Lakukan pergerakan ringan di bawah mata untuk mengurangkan sembap (puffiness), terutamanya pada waktu pagi.

Di bahagian dahi pula, gerakkan gua sha secara melintang dan tarik ke arah atas rambut.

Selain itu, Dr. Nadzirah turut berkongsi mengenai manfaat gua sha terhadap kesihatan dan kecantikan kulit:

1. Melancarkan peredaran darah sehingga lebih banyak oksigen dan nutrien dibekalkan ke wajah.

2. Mengurangkan bengkak wajah Terutamanya di sekitar bawah mata dan pipi.

3. Menegangkan dan membentuk wajah, sekali gus menjadikan tona kulit yang lebih sekata.

4. Menyokong proses detoks kulit dengan membantu penyingkiran toksin melalui sistem limfa.

Dengan hanya beberapa minit setiap hari, gua sha boleh menjadi rutin penjagaan diri yang bukan sahaja menyihatkan tetapi juga menenangkan.

Jangan lupa cuci wajah selepas rawatan untuk memastikan kulit kekal bersih dan segar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram