
SAYA dan bekas suami mempunyai pendekatan yang berbeza dalam membesarkan anak-anak. Dia lebih santai, saya pula lebih suka ikut jadual. Dia benarkan anak makan depan televisyen, saya ajak makan di meja makan. Dia ambil pembantu rumah, saya pula mahu anak-anak belajar tanggungjawab dengan tugasan rumah ikut umur. Anak-anak kami berusia 11, sembilan dan enam tahun. Kini mereka makin cenderung duduk di rumah ayah mereka, dan saya buntu nak buat apa. Saya tak tahu macam mana nak sampaikan kepada bekas suami bahawa dia sebenarnya tak membantu anak-anak jika terus manjakan mereka begitu. Tapi dia cuma ketawa dan kata, "Mereka budak lagi."
Apakah etika co-parenting dan panduan terbaik untuk ibu bapa yang sudah berpisah?
BACA LAGI: Maksimumkan fungsi ruang bawah bumbung, 4 idea bijak untuk pelan reka bentuk loteng
BACA LAGI: 'Mesej setiap hari', wanita dementia lupa arwah suami meninggal dunia 3 tahun lepas
Jawapan: Malangnya, perbezaan cara membesarkan anak ini mungkin akan berlaku juga walaupun anda dan bekas suami masih tinggal sebumbung.
Dalam mana-mana hubungan pun, biasanya akan ada perbezaan, kadang-kadang dua-dua setuju dari segi teori, tapi cuma seorang yang benar-benar konsisten dalam praktikal.
Bab tugasan rumah adalah contoh yang paling jelas.
Bila anak-anak tak buat kerja rumah, si ayah biarkan sahaja. Si ibu pula terpaksa bertegas. Masa masih jadi pasangan, mungkin kita buat kompromi. Tapi bila dah berpisah, masing-masing ikut cara sendiri.
Itulah sebabnya saya selalu galakkan ibu bapa yang berpisah untuk cari jalan tengah dan sebab itu aspek kompromi menjadi peraturan nombor 10 dalam 'ex-etiquette for parents' saya.
Masalahnya, bila dah wujud suasana "rumah mama vs rumah papa", susah nak capai persefahaman. Lebih teruk kalau kedua-dua pihak pun sebenarnya dah selesa dengan situasi itu.
Dalam hal begini, tiada siapa akan menang, terutama sekali anak-anak.
Sebenarnya inilah peluang terbaik untuk tunjuk pada anak-anak bahawa walaupun ibu bapa mereka sudah berpisah, tapi masih mampu bekerjasama demi kebaikan mereka.
Tapi sebelum itu, ada satu perkara penting, iaitu berhati-hatilah bila bercakap tentang satu sama lain di hadapan anak.
Ayat seperti "Mama asyik fikir kerja rumah sahaja" atau "Papa pemalas!", walaupun mungkin sekadar gurauan tapi sebenarnya boleh beri kesan jangka panjang pada anak.
Mereka akan simpan kata-kata itu dan rasa seperti mereka perlu pilih siapa yang betul dan siapa yang salah. Akhirnya, mereka tersepit antara dua pihak.
Bila ibu bapa masing-masing keras kepala, anak-anak akan rasa perlu menyebelahi satu pihak. Padahal anak-anak perlukan kedua-dua ibu bapa untuk rasa selamat dan lengkap. Jadi, memperlekehkan satu sama lain hanya akan menyakitkan hati anak.
Mungkin kompromi yang perlu ialah si ibu belajar untuk lebih fleksibel sedikit manakala si ayah pula perlu ambil peranan kepimpinan yang lebih aktif. Perubahan ini memang sukar, sebab ramai bekas pasangan tak sedar betapa pentingnya untuk sikap kebersamaan demi kesejahteraan anak-anak.
Langkah pertama, berbincanglah. Jangan rendahkan pandangan masing-masing. Dengar, dan rancang satu pendekatan bersama, sesuatu yang kedua-dua pihak boleh sokong.
Salah satu idea yang saya selalu cadangkan ialah buat cabaran atau permainan yang disertakan dengan ganjaran, sebagai dorongan untuk anak-anak lebih konsisten dengan kerja rumah atau tugasan harian.
Dengan cara ini, gaya ibu yang tegas nampak lebih santai, manakala gaya ayah yang relaks pula diberi sedikit struktur.
Paling penting, bila dah capai keputusan bersama sampaikan pada anak-anak dengan ayat seperti, "Mama dan Papa dah bincang dan kami sama-sama setuju."
Pastikan dua-dua berpegang pada keputusan itu. Bila ini berlaku, barulah nampak kerjasama sebagai satu pasukan. Itulah yang dikatakan ex-etiquette yang baik. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
– Dr Jann Blackstone, pakar mediasi hak penjagaan anak dan penulis The Bonus Family Handbook: The Definitive Guide To Co-Parenting And Creating Stronger Families.