
ADA cinta yang tidak mati walaupun jasad telah lama tiada, kerana ia tidak padam oleh waktu, tidak luntur oleh usia.
Cinta seperti itu tidak mengikut hukum logik kerana ia hidup dalam ruang kenangan dan dalam jiwa yang enggan melepaskan.
Begitulah kisah menyentuh hati dikongsi oleh Lolitta Suffian di platform Threads baru-baru ini.
BACA LAGI: Maksimumkan fungsi ruang bawah bumbung, 4 idea bijak untuk pelan reka bentuk loteng
BACA LAGI: Mulakan hari tanpa stres, 3 rutin pagi bantu anda lebih bersemangat
Ia bukan sekadar cerita tentang kehilangan, tetapi kisah seorang wanita yang mencintai suaminya lebih separuh abad dan masih menunggunya, meskipun beliau telah tiada sejak tiga tahun lalu.
Kini, si isteri diuji pula dengan nyanyuk dan dalam kekaburan ingatan itulah, cinta agungnya terus hidup mengatasi masa, kehilangan, bahkan penyakit yang meragut realiti.
Cinta tak padam meski ingatan pudar
Lolitta berkongsi bahawa ibu bapanya telah berkahwin lebih 50 tahun dan ayahnya adalah satu-satunya lelaki yang dicintai oleh ibunya.
Sejak pemergian suaminya tiga tahun lalu, ibunya tidak pernah benar-benar ‘menangkap’ makna kehilangan itu.
Kini dengan nyanyuk, ingatannya mungkin kabur, tetapi hatinya masih tetap setia.
Tanpa gagal, dia masih menghantar pesanan ringkas ke nombor lama arwah suaminya.
Kata-kata ringkas yang memecah hati: "Kenapa awak tinggalkan kami? Di mana awak? Tolonglah balik pada kami. Saya taat setia pada awak."
Setiap teks itu seperti bisikan rindu dari ruang waktu yang tidak mampu lagi difahami oleh dunia luar, tetapi cukup nyata dalam hatinya.
Nyanyuk bukan sekadar lupa, ia adalah penyakit yang perlahan-lahan mencuri keupayaan seseorang untuk mengenal dunia sekeliling.
Namun, dalam banyak kes, emosi dan perasaan terdalam kekal utuh.
Dalam hati pesakit, kenangan cinta yang mendalam sering kali menjadi antara terakhir dilupakan.
Cinta yang dipegang oleh ibu Lolitta adalah bukti bahawa nyanyuk mungkin melunturkan fakta, tetapi ia tidak boleh memadamkan rasa.
Perkongsian Lolitta turut membuka ruang kepada kisah lain yang tidak kurang menyayat hati.
Seorang pengguna bernama Nurashikin Haji Mahadi turut bercerita di ruangan komen mengenai seorang makcik yang dia temui dua minggu lalu.
Wanita tua itu telah kehilangan suami lebih empat tahun lalu dan kini hidup tanpa tempat tinggal sejak lebih setahun.
Namun, makcik itu enggan berpindah ke mana-mana kerana memilih untuk tinggal di medan selera.
Tempat yang sering menjadi lokasi kepulangan suaminya dari kerja.
Baginya, di situlah cinta tinggal dan dia mahu terus menunggu.
"Setiap kali saya makan bersamanya, dia akan doakan suaminya dahulu," tulis Nurashikin.
Malah, mak cik itu sering bermimpi arwah suaminya menasihatkan agar dia menjaga diri dan terus bertahan.
Satu impian yang menjadi pengubat sepi dan alasan untuk bertahan hidup meski keseorangan di dunia nyata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram