
DI tengah kesibukan Amcorp Mall Petaling Jaya, Selangor, sebuah jenama tempatan, Lerato, menyerlah dengan produk hiasan rumah yang memukau, menggabungkan warisan Afrika dengan estetika moden.
Dalam temu bual eksklusif bersama Pengasas Lerato, Asiyah Tshepo Mokalake, berkongsi kisah di sebalik penubuhan jenama itu serta inspirasi yang mendorongnya.
Berasal dari Botswana, Asiyah yang telah menetap di Malaysia selama 16 tahun, membawa sentuhan budaya Afrika ke dalam setiap produk Lerato, menjadikannya unik di pasaran tempatan.
BACA LAGI: Bingkai gambar, kusyen bukan sekadar pelengkap hiasan, mampu ubah ruang biasa jadi wow!
Inspirasi di sebalik Lerato
Idea penubuhan Lerato bermula daripada suami Asiyah, yang terpukau dengan keindahan kain cetakan Afrika.
"Suami saya terpesona dengan kain-kain ini semasa kami melawat kedai kain untuk majlis perkahwinan di Botswana. Mereka, termasuk ibu mertua dan ipar saya, kagum dengan warna-warna cerah dan corak yang menarik," kongsi Asiyah kepada Majoriti.
Kain-kain itu, yang pada mulanya disimpan tanpa tujuan jelas, akhirnya menjadi asas kepada Lerato.
Selepas setahun, suami Asiyah mencadangkan untuk menghasilkan sesuatu daripada kain tersebut, seperti barangan hiasan rumah.
"Saya cuba menghasilkan sampel dan hasilnya sungguh memukau. Itulah titik tolak kami memulakan perniagaan ini," tambahnya.
Warisan Afrika dalam produk Lerato
Produk Lerato menonjol kerana penggunaan kain cetakan Afrika yang terkenal dengan warna-warna terang dan corak yang unik.
Asiyah menjelaskan, "Kain ini melambangkan kegembiraan dan perayaan dalam budaya kami, sering digunakan untuk majlis seperti perkahwinan."
Lerato menggunakan dua jenis kain utama: Shweshwe dari Afrika Selatan dan Ankara dari Afrika Barat, kedua-duanya menampilkan warna-warna meriah yang memberikan kesan visual yang kuat.
Produk seperti lampu, sarung kusyen, kerusi kecil, dan pelari meja menyerikan ruang kediaman dengan keunikan budaya Afrika.
Produk Lerato menonjol kerana penggunaan kain cetakan Afrika yang terkenal dengan warna-warna terang dan corak yang unik.
Mengimbangi budaya Afrika, Malaysia
Sebagai penduduk Malaysia yang telah lama menetap, Asiyah turut menggabungkan elemen budaya tempatan dalam reka bentuk Lerato.
"Saya belajar menghargai estetika tropika dan minimalisme Malaysia. Saya menggunakan bentuk-bentuk ringkas dan moden untuk mengimbangi warna-warna terang kain Afrika," ujarnya.
Contohnya, lampu hiasan Lerato menggunakan tapak yang ringkas tetapi mempunyai bentuk yang tersendiri, supaya kain bercorak tidak 'bertembung' dengan reka bentuk.
Pendekatan itu memastikan produk kekal segar sambil mengekalkan warisan Afrika.
Produk Lerato bukan sekadar hiasan, tetapi juga membawa tenaga positif ke dalam rumah.
Asiyah berkongsi pengalaman pelanggan: "Seorang pelanggan berkata, selepas memasang lampu Lerato, rumahnya terasa lebih bertenaga. Setiap pagi, dia menikmati kopi sambil memandang pelita itu, dan ia memberikan rasa gembira."
Warna-warna cerah dan corak yang meriah menjadikan ruang yang biasa kelihatan lebih hidup dan penuh semangat.
Cabaran, usaha jaga kualiti
Menguruskan perniagaan seperti Lerato tidak terlepas daripada cabaran, terutamanya dalam mencari tukang kraf tempatan yang mahir.
"Sukar untuk mencari tenaga tempatan yang boleh menghasilkan lampu hiasan dengan etika kerja yang baik. Banyak tukang kraf berpengalaman sudah bersara," kata Asiyah.
Untuk memastikan kualiti kain yang diimport dari Afrika, Asiyah bergantung kepada keluarganya di Botswana dan Afrika Selatan untuk melakukan pemeriksaan.
"Kain Shweshwe, misalnya, mempunyai logo khas yang menjamin keaslian. Keluarga saya tahu kualiti yang saya perlukan," jelasnya.
Warna-warna cerah dan corak yang meriah menjadikan ruang yang biasa kelihatan lebih hidup dan penuh semangat.
Rancangan masa depan
Asiyah mempunyai impian besar untuk Lerato.
"Kami mahu berkembang ke seluruh Malaysia dan memperkenalkan lebih banyak produk, seperti kelengkapan dapur dan bilik tidur," katanya.
Lerato juga mula menjalin kerjasama dengan perniagaan tempatan, termasuk kolaborasi baru-baru ini dengan British American Tobacco.
Dengan pendekatan yang perlahan tetapi pasti, Asiyah yakin Lerato akan terus berkembang sambil mengekalkan kualiti dan keunikan produknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram