Maksimumkan fungsi ruang bawah bumbung, 4 idea bijak untuk pelan reka bentuk loteng


  • Hias
  • Isnin, 30 Jun 2025

Dengan perancangan yang betul, loteng tidak lagi sekadar ruang lebihan, ia boleh menjadi nadi utama dalam susun atur kediaman moden. — Agensi

DALAM dunia seni bina moden, setiap inci ruang kediaman amat berharga. 

Bagi yang menanam impian mahu membina rumah sendiri, maksimumkan penggunaan ruang dengan mengadakan loteng.

Jangan biarkan loteng sekadar stor simpanan barang, sudut ini juga menarik dijadikan bilik serba guna. 

Perkongsian menarik oleh Alex Garzab di Facebook membuka mata ramai tentang potensi sebenar loteng apabila direka bentuk secara terancang bagi meluaskan fungsinya.

Melalui lakaran bertajuk "Functional Attic Room Design", beliau mengemukakan empat idea pintar untuk memanfaatkan sepenuhnya ruang di bawah bumbung miring.

BACA LAGI: Mulakan hari tanpa stres, 3 rutin pagi bantu anda lebih bersemangat

BACA LAGI: Lerato penyeri rumah gabungan sentuhan Afrika, Malaysia, ketengahkan kain cetakan warna terang, corak unik

Lakaran itu membahagikan loteng kepada empat fungsi utama iaitu tandas, ruang kerja, bilik tidur dan ruang tamu.

Setiap bahagian disusun berdasarkan keperluan ketinggian minimum yang bersesuaian dengan aktiviti harian, menjadikan ia panduan praktikal bagi sesiapa yang mahu mengubahsuai loteng secara bijak.

Rekaan tandas

Bahagian A menggambarkan sebuah tandas yang direka dalam ruang terhad.

Individu yang berdiri memerlukan ketinggian sekurang-kurangnya 1900mm (milimeter) manakala kawasan tempat duduk tandas memadai dengan ketinggian 1500mm di bahagian belakang.

Dengan kedalaman minimum 1000mm, kawasan itu membuktikan bahawa walaupun dalam ruang sempit, fungsi tetap boleh dioptimumkan asalkan perancangan ukuran dibuat secara teliti.

Ruang kerja 

Dalam bahagian B, Alex menampilkan satu sudut pejabat mini yang berfungsi walaupun dengan ketinggian siling hanya 1350mm di atas kepala pengguna.

Meja kerja pada paras 750mm dan ketinggian 1200mm di bahagian belakang ruang memberikan cukup ruang untuk duduk dengan selesa tanpa rasa sempit.

Kedalaman minimum 1300mm memastikan peralatan dan perabot boleh disusun kemas, menjadikan ruang itu pilihan ideal untuk mereka yang bekerja dari rumah.

Kawasan loteng sering dianggap ruang tambahan atau sekadar tempat simpanan. — Agensi

Bilik tidur menenangkan

Bahagian C pula menonjolkan suasana bilik tidur yang ringkas tetapi efektif.

Dengan katil setinggi 610mm dan ketinggian siling 1200mm di atasnya, ruang itu menunjukkan bahawa loteng boleh menjadi lokasi tidur yang selesa tanpa memerlukan ruang berdiri yang luas.

Dinding menegak digunakan untuk menggantung hiasan seperti bingkai gambar, menambah elemen estetik walau dalam ruang rendah.

Ruang Tamu Sosial

Akhir sekali, bahagian D memaparkan ruang tamu atau kawasan santai yang menampung aktiviti sosial.

Dua kerusi diletakkan di bawah ketinggian siling 1500mm, manakala seorang individu berdiri di kawasan yang lebih tinggi.

Dengan kedalaman minimum 200mm dari dinding menegak, susun atur itu membolehkan interaksi sosial berlaku dalam suasana selesa dan terbuka, menjadikan loteng bukan sekadar ruang tertutup tetapi tempat pertemuan yang hangat.

Apa yang menjadikan lakaran itu begitu bermakna ialah pendekatan praktikal yang digunakan untuk menilai keperluan ruang berdasarkan fungsi dan ketinggian manusia.

Setiap bahagian menunjukkan bagaimana bumbung miring bukanlah penghalang, sebaliknya peluang untuk mencipta pengalaman ruang yang unik dan selesa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram