
GAYA fesyen artis K-pop bukan sahaja mencetuskan fenomena di Korea Selatan, malah turut memberi pengaruh besar terhadap cara berpakaian remaja di Malaysia, khususnya dalam kalangan peminat tegar genre tersebut.
Kini, semakin ramai anak muda mengambil elemen gaya selebriti Korea seperti lapisan pakaian (layering), warna pastel serta aksesori berani untuk tampil lebih yakin dan bergaya dalam gaya seharian.
Bagi mendapatkan pandangan lebih dekat, Majoriti menemu bual beberapa individu untuk berkongsi pendapat mengenai gaya fesyen K-pop yang menjadi pilihan dan inspirasi mereka.
Selebriti K-pop kebiasaannya tampil dengan gaya sendiri semasa di lapangan terbang. — Media sosial
Menurut Nur'Ain Nisa Zulkifli, 22, beliau menggemari gaya lapangan terbang atau airport fashion kerana ia kelihatan lebih santai dan kasual, namun masih bergaya.
"Saya lebih suka fesyen di lapangan terbang mereka sebab nampak cool dan selesa pada pandangan mata," katanya.
Mengulas mengenai item fesyen yang dibeli hasil inspirasi daripada artis kegemarannya, beliau memberitahu beg tangan dan kasut menjadi pilihan utama kerana sering melihat idolanya memakai item berkenaan.
Sependapat dengan Nur’Ain, Syarmaine Alysya Deanna Muhammad Sharin, 29, turut tertarik dengan gaya lapangan terbang selebriti K-pop.
"Fesyen lapangan terbang nampak kasual dan sangat bergaya," ujarnya ringkas.
Berkongsi pengalaman, peminat K-pop generasi kedua itu berkata, beliau pernah membeli beg jenama MCM selepas melihat kumpulan Beast (kini dikenali sebagai Highlight) menggunakan jenama tersebut.
Enggan memilih gaya lain, Noor Azura Hishamudin, 38, yang juga pempengaruh media sosial, gaya di lapangan terbang merupakan gaya paling bergaya dan mudah untuk ditiru.
"Gaya mereka di atas pentas lain, di lapangan terbang pula mereka tampil dengan gaya tersendiri. Tidak dinafikan ada yang memakai pakaian yang ditentukan penata gaya, namun ada juga yang pandai mix and match sendiri," jelasnya.
Fesyen pentas idola K-pop menjadi salah satu tarikan selain persembahan nyanyian dan tarian. — Media sosial
Mengakui pernah meniru gaya anggota Blackpink, Rose, Noor Azura berkata, beliau tetap menyesuaikan gaya tersebut mengikut tuntutan agama.
"Saya pernah tiru gaya Rose, tapi sebab saya berhijab, jadi saya pilih baju yang berlengan panjang dan cuba mix and match sendiri," katanya sambil ketawa.
Sementara itu, Yan Yee berkata, beliau lebih tertarik dengan penampilan artis K-pop di atas pentas kerana dirinya sendiri merupakan seorang penari.
"Saya dan rakan-rakan banyak meniru gaya pentas mereka seperti Aespa dan Itzy. Saya juga suka aksesori seperti beg tangan dan subang yang mereka pakai. Rose dan NewJeans antara inspirasi utama saya dalam berfesyen," kata wanita berusia 25 tahun itu.
Sama seperti yang lain, Nur Adlina Salam, 23, juga menyukai fesyen lapangan terbang kerana gaya itu kelihatan cool dan bergaya.
Mengenai item yang menjadi ikutan, katanya, beliau pernah membeli beberapa barangan yang dipakai oleh idolanya, termasuk kasut jenama Puma.
"Setakat ini, saya ada kasut Puma yang saya beli sebab Rose pakai," katanya.
Fenomena ini membuktikan bahawa pengaruh budaya Korea, khususnya fesyen, terus berkembang di Malaysia dan menjadi rujukan golongan muda untuk mengekspresikan gaya serta identiti diri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram