Pulang tangan kosong walau beratur 7 jam, pelanggan kecewa desak penganjur teliti semula sistem jualan 'warehouse sale'


  • Gaya
  • Ahad, 29 Jun 2025

Pembeli peribadi antara punca kekecohan berulang dalam acara jualan fizikal yang dianjurkan oleh jenama fesyen lokal. - Gambar Hiasan

SEPERTI tidak mengambil iktibar daripada penganjuran sebelum ini, sesetengah acara jualan fizikal, sama ada di kedai pop-up mahupun jualan gudang terus dibayangi isu ketidakadilan dalam sistem pembelian.

Terbaharu, sebuah jenama tempatan dikecam selepas insiden tular yang menunjukkan pelanggan 'VIP' diberi keutamaan untuk masuk lebih awal ke ruang jualan, sedangkan ramai pelanggan lain terpaksa beratur selama berjam-jam.

Insiden itu mencetuskan kemarahan pengunjung dan warga maya apabila mereka bukan sahaja menunggu lama, malah terpaksa pulang dengan tangan kosong kerana kebanyakan barangan yang diinginkan sudah habis selepas dipercayai diborong oleh pembeli peribadi atau personal shopper.

BACA LAGI: Wanita ‘besi’ bangkit selepas dimalukan, buka stesen minyak di Perlis

BACA LAGI: Konten 'Tube Girl' jadi fenomena, Sabrina kelahiran Malaysia kini cipta nama di UK

Two happy females shopping. Customer select product promotion and shopping online from mobile phone. Business shopping situation idea concept.

Penganjur perlu meneliti cadangan penambahbaikan sistem bagi memuaskan hati semua pelanggan yang hadir. — Gambar hiasan/Freepik

“Saya beratur sejak 8.45 pagi, hanya dapat masuk pada 3.20 petang. Tapi bila masuk, tinggal saiz 2XL, 3XL sahaja. Yang lain semua habis. Tolonglah kawal pembeli peribadi ni,” luah @Belle.

“Saya tunggu enam jam, masuk-masuk semua item saya nak dah habis. Lagi kecewa apabila nampak pembeli peribadi ambil semua,” kata @hechamm_ pula.

Justeru, rata-rata warga maya di ruangan komen video tersebut menggesa agar penganjur bukan sahaja memperbaiki sistem sedia ada, malah mengambil serius cadangan penambahbaikan agar situasi tidak berulang, lebih-lebih lagi ketika jenama tempatan semakin mendapat tempat di hati pengguna.

Antara cadangan yang disuarakan ialah had pembelian, sistem tempahan slot masa dan pemantauan lebih ketat terhadap pembeli borong atau pembeli peribadi.

“Saya rasa kita perlu perlahan sikit dengan trend viral. Sokong produk lokal tu bagus, tapi kalau sampai membebankan penganjur dan pembeli, ia boleh jadi tidak seronok.

"Tetapkan peraturan. Contohnya maksimum dua item seorang, tempah slot masa dan sekat pembeli peribadi dari borong semua,” cadang @qaseh.

“Gunakan sistem kupon, hadkan tiga item setiap individu. Selepas bayar, kupon diserah semula. Kalau nak beli lagi, kena beratur semula. Baru adil,” kata @tuffluhuy.

Mengulas tentang keistimewaan pelanggan setia, beliau menyarankan agar penganjur memisahkan jualan khas itu daripada acara besar seperti jualan gudang.

“Kalau nak beri ganjaran kepada pelanggan setia, mungkin boleh buat jualan secara tertutup secara berasingan, bukan digabungkan dengan jualan gudang.

"Sebab apabila orang dari jauh datang, beratur lama, tapi tak sempat beli, rasa sangat tak adil. Harap perkara ini boleh dipertimbangkan untuk penganjuran akan datang,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram