
BEKAS pemain bola sepak wanita Britain, Fran Hurndall berjaya menamatkan larian sejauh 3,800 kilometer (km) merentas Australia pada Ahad dengan catatan masa terpantas pernah direkodkan oleh seorang wanita.
Larian amal itu dilakukan bagi mengutip dana untuk membantu mangsa keganasan rumah tangga.
Menurut kenyataan pasukannya, Fran berlari dari Perth ke Sydney dalam tempoh 60 hari walaupun mengalami kecederaan tendon Achilles dan melecet.
“Larian ini benar-benar mencabar dari segi fizikal dan mental. Ia satu perjalanan yang luar biasa,” kata wanita berusia 33 tahun itu.
“Apa yang saya lalui ini sebenarnya tidak seberapa jika dibandingkan dengan penderitaan wanita yang hidup dalam ketakutan akibat keganasan rumah tangga setiap hari," jelasnya.
Menurut jurucakap pasukannya, Hurndall menamatkan larian tersebut 17 hari lebih awal berbanding rekod terdahulu yang didakwa pada tahun 2023.
Beliau juga merancang untuk menghantar pencapaiannya kepada Guinness World Records. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram