'Bagai sudah sebahagian daripada keluarga,' Bella Astillah ikut serta rai ulang tahun kelahiran abang Syed Saddiq


  • Hiburan
  • Ahad, 29 Jun 2025

Bella (belakang, tiga dari kiri) bersama keluarga Syed Saddiq (kanan) ketika meraikan ulang tahun abang beliau, Syed Abdullah (tengah). — Instagram/@aishahkamalb

SELEPAS menarik perhatian ramai apabila tidak dapat menahan air mata sebaik Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman membabitkan empat kes penyelewengan dana Armada tujuh tahun lalu melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, pelakon dan penyanyi Bella Astillah sekali lagi mencuri tumpuan.

Kali ini, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabeela Awang Astillah, 31, dilihat hadir meraikan ulang tahun kelahiran abang kepada Syed Saddiq, iaitu Syed Abdullah.

Dalam perkongsian yang dimuat naik oleh kakak ipar Syed Saddiq, Aishah Kamal, Bella tampil anggun mengenakan denim biru navy.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sentuh elaun belajar demi buat modal, mekanik wanita nekad sambung legasi bengkel ayah di Kuantan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jenny dahulu senior saya,' KJ kenang gaya kepimpinan Jenny Malai Ali yang disifatkan penuh empati

Gambar swafoto yang dimuat naik oleh Aishah (kanan) turut disertai ibu dan kakak Syed Saddiq. — Instagram/@aishahkamalb

Perkongsian tersebut turut disertakan dengan beberapa keping gambar yang menunjukkan kemesraan ibu kepada dua orang anak itu bersama keluarga Syed Saddiq.

"Selamat ulang tahun buat suami saya. Sangat seronok dapat meraikannya bersama keluarga. Terima kasih kepada ipar saya yang turut membantu menjayakan perjumpaan keluarga ini," tulis Aishah yang merujuk kepada Bella dan kakak Syed Saddiq, Sharifah Amani.

Turut dikongsi ialah gambar swafoto Bella bersama ibu, kakak serta kakak ipar kepada ahli politik berkenaan.

Dalam hantaran berasingan, Aishah memuat naik video sambutan yang diadakan di sebuah restoran menyajikan masakan Timur Tengah.

Video yang dirakam oleh Bella itu menarik perhatian warga maya, malah ramai menitipkan doa dan kata-kata positif buatnya dan keluarga berkenaan.

“Saya suka cara awak beri kredit kepada wanita di sebalik rakaman ini (Bella),” komen @norahajar.

“ALLAH Maha Adil. Dulu Bella banyak pendam, sekarang beliau dilimpahi kebahagiaan yang disaksikan ramai. Semoga yang baik-baik buat keluarga Bella dan Syed Saddiq,” tulis @bazit27594.

“Seronoknya kalau dapat ipar macam ni. Boleh jadi kawan baik dengan Bella. Terima kasih kerana menerima dia seadanya,” kata @wennie_oniey.

“Lepas ni mesti banyak lagi momen indah, sebab Bella memang penyayang dan menghargai orang sekeliling,” ujar @june_sabran.

Untuk rekod, Bella dan Syed Saddiq mula rapat selepas mereka bergandingan sebagai duta sebuah jenama pakaian terkenal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram