'Mustahil' untuk miliki? Ini strategi Hermes pasarkan beg Birkin


  • Gaya
  • Khamis, 19 Jun 2025

Jenama-jenama lain turut mencuba meniru strategi pemasaran Hermes, namun gagal mencapai impak yang sama. — Agensi

TIDAK seperti jenama mewah lain yang mengalu-alukan pembelian segera, jenama mewah, Hermes mengambil pendekatan berbeza.

Jenama dari Paris, Perancis itu tidak sewenang-wenangnya menjual produk mereka menerusi laman sesawang mereka, sebaliknya, pengguna perlu berkunjung ke butik mereka sendiri dan menunjukkan kesetiaan bertahun-tahun mereka.

Hanya selepas itu, pengguna akan dinilai sama ada mereka layak atau tidak untuk memilikinya.

BACA LAGI: Jangan terus hukum, ibu bapa luang masa 15 minit selami hati anak remaja selalu memberontak

BACA LAGI: 'Boleh membusuk, jangkitan kuman', wanita dedah trauma sisa uri tertinggal dalam badan lepas bersalin

Beg Birkin tercipta selepas perbualan spontan antara Jane Birkin (kiri) dan Jean-Louis Dumas berlaku dalam sebuah penerbangan. — Agensi

Asal-usul beg Birkin

Beg Birkin dinamakan sempena nama pelakon dan penyanyi, Jane Birkin yang tercipta secara tidak sengaja.

Cerita di sebalik penciptaan beg ini juga unik. Selama bertahun-tahun, Jane Birkin membawa barang peribadinya seperti roti baguette, diari, kunci dan botol susu anaknya dalam sebuah bakul rotan yang keras dan berat.

Pada tahun 1983, ketika berada dalam penerbangan Air France bersama anak perempuannya, bakul itu terbalik dan menyebabkan barang-barangnya tertumpah ke atas penumpang di sebelah yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Hermes ketika itu, Jean-Louis Dumas.

Perbualan spontan berlaku antara mereka. Jane mengadu bahawa Hermes tidak menawarkan sebarang beg bersaiz sederhana antara beg kecil Kelly dan beg pakaian besar.

Dumas kemudian mencabar beliau untuk melukis beg idaman tersebut. Jane lantas melakar reka bentuknya di atas beg muntah yang tersedia dalam pesawat.

Idea ringkas itulah yang menjadi asas kepada ciptaan beg Birkin yang kini menjadi salah satu simbol kemewahan paling ikonik di dunia.

Syarat memiliki Birkin

Berbeza dengan anggapan umum, tiada sistem senarai menunggu rasmi untuk mendapatkan Birkin.

Pelanggan perlu terlebih dahulu membeli pelbagai barangan lain seperti selendang, kasut dan hiasan rumah Hermes.

Kaedah ini dikenali sebagai 'tying' yang turut mencetuskan kontroversi dan kritikan, termasuk tindakan undang-undang kerana dianggap berat sebelah.

Sebuah beg Birkin Himalaya pernah dibida pada harga RM1.6 juta di Christie's, Hong Kong. — Agensi

Ketukangan tangan

Setiap beg Birkin dihasilkan oleh seorang tukang yang terlatih sekurang-kurangnya lima tahun. Proses penghasilannya pula mengambil masa sekitar 18 jam dan setiap beg dibuat sepenuhnya dengan tangan.

Hermes menekankan aspek ketukangan tradisional yang diwarisi turun-temurun, menjadikannya lebih daripada sekadar barangan fesyen, malah sebuah karya seni.

Strategi pemasaran Hermes juga unik. Kekurangan bekalan menjadikan produk lebih diidamkan, sementara proses pembelian yang sukar menjadikan pemilik Birkin terasa istimewa.

Harga runcitnya bermula sekitar RM50,000, namun versi vintaj boleh mencecah jutaan ringgit dalam pasaran lelong.

Ada yang menjadikannya pelaburan denagan menyimpan dalam peti khas tanpa pernah digunakan.

Bagi pelanggan biasa, pendekatan Hermes menuntut kesabaran dan nilai adab yang tinggi.

Bina hubungan baik dengan jurujual, kekal setia dan bersabar, itu antara kunci mendapatkan 'panggilan' yang dinantikan.

Namun, tiada jaminan dan ramai yang terus menunggu tanpa sebarang kepastian.

Walaupun dikecam kerana sistem dianggap 'terlalu' eksklusif dan tidak telus, Hermes kekal diam. Kontroversi terlibat sebaliknya menaikkan lagi status jenama tersebut.

Jenama-jenama lain turut mencuba meniru strategi mereka, namun gagal mencapai impak yang sama.

Faktor pembeza utama Hermes adalah kualiti kraf tangan dan sejarah panjang yang tidak boleh ditiru.

Lebih daripada sekadar beg tangan, Birkin melambangkan kejayaan, kemewahan dan pengiktirafahan sosial.

Hermes membuktikan bahawa dalam dunia fesyen, kesukaran memiliki sesuatu boleh menjadikannya lebih bernilai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram