
PENCERAIAN membawa perubahan besar dalam hidup seseorang, terutama dari segi pengurusan rumah dan hubungan kekeluargaan.
Dalam situasi itu, reka bentuk dalaman bukan sekadar soal estetika, tetapi menjadi medan penting untuk membina semula ikatan dengan mencipta suasana rumah yang selesa dan menyokong bagi anak-anak serta ibu bapa.
Pengasas Stripe Street Studios, Stacey Herman, berkongsi pandangan tentang bagaimana lelaki dan wanita boleh menggunakan reka bentuk dalaman untuk menyesuaikan ruang kediaman mereka dengan status baharu selepas perceraian.
BACA LAGI:Keindahan seni bina Islam, 5 masjid ikonik jadi tarikan lensa kamera
Suasana rumah seiring kehidupan baharu
Selepas bercerai, ramai ibu bapa tunggal menghadapi cabaran untuk mengubah rumah menjadi ruang praktikal dan mesra kanak-kanak bagi menyokong hubungan kekeluargaan yang sihat.
Stacey, sering memberi tumpuan khusus membantu bapa atau ibu bercerai mengubah rumah menjadi tempat tinggal yang selesa untuk anak-anak mereka.
"Kami bukan sekadar firma reka bentuk, kami membina hubungan melalui ruang yang kami cipta.
"Pilihan reka bentuk yang dibuat menyampaikan mesej kepada anak-anak bahawa mereka dihargai dan rumah itu juga milik mereka," kata Herman.
Reka bentuk dalaman bukan sekadar soal estetika, tetapi menjadi medan penting untuk membina semula ikatan. — Agensi
Kemas kini rumah sesuai dengan keperluan emosi, praktikal
Bagi ibu atau bapa tunggal, rumah perlu diubah suai agar mencerminkan identiti baharu sambil memenuhi keperluan keluarga.
Herman menegaskan bahawa ramai lelaki, khususnya, kurang tahu bagaimana untuk memilih perabot atau mengatur ruang yang sesuai selepas bercerai.
"Ramai yang hanya mengatur perabot secara minimal kerana kekangan masa dan emosi. Kami membantu mereka menguruskan semua itu supaya rumah bukan sekadar tempat tinggal, tetapi ruang mengurangkan tekanan dan menyenangkan anak-anak," jelasnya.
Begitu juga dengan ibu tunggal yang mungkin perlu menyesuaikan ruang untuk menjadi lebih fleksibel dan menyokong aktiviti anak-anak, sambil mengekalkan suasana tenang.
Rumah perlu diubah suai agar mencerminkan identiti baharu dan memenuhi keperluan keluarga. — Agensi
Contoh transformasi rumah yang berkesan
Salah satu contoh diberikan Herman adalah transformasi ruang makan yang besar menjadi ruang serbaguna seperti lobi hotel, lengkap dengan meja bistro untuk sarapan, sudut seni, perpustakaan kecil dan ruang belajar.
Ini membolehkan bapa dan anak-anak melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dalam satu ruang yang intim yang menyenangkan.
Sebagai contoh, seorang bapa dengan tiga anak lelaki sebelum ini hanya mempunyai tilam di lantai dan perabot.
Kini bapa itu mempunyai rumah lengkap dengan bilik tidur untuk anak-anak, peralatan dapur, serta elemen-elemen kecil seperti barangan sabun mandi yang menyeronokkan dan pengisar untuk smoothie pagi.
Perubahan kecil itu memberi impak besar kepada kesejahteraan keluarga.
Bilik permainan menggalakkan interaksi antara ibu bapa dan anak-anak.— Agensi
Reka bentuk menghormati identiti, keselesaan
Herman menegaskan bahawa konsep ruang 'maskulin' atau 'feminin' tidak semestinya terhad pada warna atau gaya tertentu.
Ia lebih kepada mencipta ruang sesuai dengan citarasa individu dan memberi mereka rasa layak untuk menikmati keselesaan dengan gaya hidup yang baik.
"Ramai ibu bapa terlalu fokus pada anak sehingga sanggup mengorbankan keselesaan diri sendiri. Mereka perlu ruang dewasa yang sesuai, bukan sahaja untuk diri mereka tetapi juga untuk anak-anak," ujarnya lanjut.
Trend reka bentuk rumah selepas perceraian
Penggunaan ruang luar yang selesa dan menarik supaya anak-anak dapat beraktiviti di luar rumah tanpa bergantung kepada skrin.
Ruang serta bilik permainan yang menggalakkan interaksi antara ibu bapa dan anak-anak.
Mengurangkan konsep makan formal untuk memberi lebih banyak ruang serbaguna yang praktikal.
Menyeimbangkan kehidupan peribadi dan keluarga
Salah satu cabaran utama selepas perceraian ialah mengimbangi keperluan peribadi dengan tanggungjawab sebagai ibu atau bapa.
Herman berkongsi contoh seorang klien yang mempunyai ruang terhad pada awalnya mahu berkongsi bilik dengan anak-anak.
Melalui reka bentuk kreatif seperti katil tingkat di ruang tamu, setiap orang dapat menikmati ruang peribadi tanpa mengorbankan keakraban keluarga.
Pendekatan sensitif dan membina
Herman melihat peranannya bukan sahaja sebagai pereka dalaman tetapi juga sebagai penyokong emosi untuk membantu klien membina kembali rasa rumah, identiti dan hubungan yang sihat.
"Kami membantu mereka mencipta memori baru bersama anak-anak, sama ada melalui ruang untuk malam permainan, bilik tidur yang mesra kanak-kanak, atau dapur untuk memasak bersama."
Hubungan dengan bekas pasangan
Menariknya, hubungan dengan bekas pasangan juga boleh menjadi positif.
Dalam banyak kes, bekas pasangan gembira melihat anak-anak mereka dijaga dengan baik di rumah baharu bapa atau ibu.
Kadangkala, mereka juga berminat untuk meniru beberapa elemen reka bentuk yang sama.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram