'The lipstick effect': Barang mewah tak mampu beli, produk murah jadi ganti


  • Gaya
  • Khamis, 26 Jun 2025

'The lipstick effect' tercetus ketika krisis ekonomi yang mana pengguna akan lebih bersedia untuk membeli barangan mewah yang lebih murah. — Gambar hiasan/Freepik

PATUNG mainan comel bernama Labubu kini menjadi kegilaan global, bukan sekadar kerana rupanya yang unik, tetapi kerana makna yang dibawanya menjadi satu bentuk kemewahan mikro (micro-luxury) yang boleh dimiliki ketika tekanan ekonomi semakin meruncing.

Dicipta oleh artis Belgium kelahiran Hong Kong, Kasing Lung bersama syarikat mainan China, Pop Mart, Labubu berasal daripada siri buku The Monsters (2015) yang diinspirasikan daripada cerita rakyat Eropah Utara.

Patung ini dijual dalam bentuk blind box atau kotak tertutup yang tidak menunjukkan patung mana yang akan diperoleh, menjadikan elemen kejutan sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelian.

BACA LAGI: Air mata Bella Astillah iringi keputusan mahkamah, Syed Saddiq kini bebas daripada tuduhan pecah amanah

BACA LAGI: Lebih 65,000 kes keganasan rumah tangga di UK, rekod tertinggi dalam sejarah Woman's Aid pada 2024

Ramai penggemar fesyen menggantung patung Labubu pada beg tangan mewah mereka. 

Harga asalnya sekitar 10 dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu kira-kira RM45 sehingga 15 dolar AS (RM65), tetapi edisi khas boleh dijual semula hingga ratusan dolar.

Malah, baru-baru ini sebuah Labubu bersaiz sebenar berjaya dijual melebihi 150,000 dolar AS (RM640,000) dalam satu acara jualan di Beijing.

Fenomena ini bukan hanya digerakkan oleh pengguna biasa, tetapi turut dipopularkan oleh selebriti terkenal seperti anggota kumpulan K-Pop, Blackpink, Lisa, Dua Lipa dan Rihanna.

Labubu kini digantung sebagai aksesori pada beg tangan mewah seperti Bottega dan Birkin, membuktikan bahawa ia bukan sekadar barang mainan, tetapi simbol cita rasa dan trend semasa.

Di media sosial pula, ribuan video unboxing mencetuskan komuniti peminat dan pengumpul.

Saham Pop Mart di Hong Kong melonjak hampir 200 peratus sepanjang tahun 2025 dengan pulangan tahunan mencecah lebih 580 peratus.

Apa sebenarnya yang sedang berlaku?

Fenomena ini mencerminkan teori lipstick effect, iaitu idea ekonomi yang mengatakan apabila pengguna tidak mampu berbelanja besar semasa krisis kewangan, mereka akan mencari alternatif kecil yang masih memberi rasa mewah dan kawalan terhadap hidup.

Dahulu, ia hadir dalam bentuk gincu. Kini, ia muncul sebagai Labubu. 

Walaupun ia tidak praktikal, tidak unik sepenuhnya dan bukan barang keperluan, Labubu memberikan kepuasan emosi yang sukar dijelaskan.

Rasa teruja ketika membuka kotak, harapan untuk memperoleh edisi khas dan rasa bangga menjadi sebahagian daripada komuniti pengumpul, semuanya mencipta hubungan yang mendalam antara pembeli dan produk.

Bagi generasi muda yang semakin terasing daripada peluang membina kekayaan sebenar seperti membeli rumah, tanah atau memiliki kereta mewah, barang kecil seperti Labubu menjadi pilihan sebagai lambang identiti, cita rasa dan rasa memiliki.

Ia memberi rasa pengiktirafan dalam dunia sosial walaupun secara berskala kecil.

Kekurangan bukan lagi masalah, tapi strategi pemasaran

Fenomena ini turut mencerminkan kemunculan budaya pengguna baharu yang menjadikan unsur kekurangan sebagai daya tarikan utama. Dalam dunia fesyen misalnya, pendekatan minimalis dan praktikal semakin mendapat tempat.

Bahkan barangan asas seperti roti, telur dan sayur-sayuran kadang-kala dijadikan sebahagian daripada pertunjukan fesyen atau penggayaan media sosial.

Pop Mart bijak menggunakan strategi pemasaran berdasarkan kekurangan dengan menghasilkan edisi terhad, edisi rahsia dan susunan stok yang cepat habis.

Ia mencetuskan rasa tergesa-gesa untuk membeli sebelum kehabisan, serta menambah nilai pada pasaran jualan semula. Tidak hairanlah jika edisi tertentu Labubu kini dijual semula pada harga 30 kali ganda daripada harga asal.

Fenomena seperti ini sebenarnya bukan perkara baharu. Dunia pernah menyaksikan trend serupa melalui kad Pokemon, NFT dan pelbagai koleksi berasaskan komuniti lain.

Kesemua ini mempunyai persamaan dari segi saiz yang kecil, nilai emosi yang tinggi serta digerakkan oleh kekuatan cerita dan rasa kebersamaan dalam kalangan pengumpul.

Kombinasi kekurangan, naratif menarik dan nilai sosial inilah yang mencetuskan permintaan tinggi dan spekulasi pasaran.

Labubu bukan hanya mainan comel untuk digantung di beg. Ia mencerminkan bagaimana pengguna hari ini berbelanja, bukan hanya untuk memiliki, tetapi untuk merasai sesuatu.  — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram