
HANYA dalam masa dua tahun, jenama penjagaan kulit milik model, Hailey Rhode Bieber berjaya menjadi fenomena global.
Bermula dengan tiga produk sahaja, Rhode kini menjadi fenomena bernilai lebih RM6 bilion, dikenali kerana formulanya yang ringkas tetapi berkesan, pembungkusan ikonik, serta strategi pemasaran yang sentiasa menjadi bualan di media sosial.
Pada Mei 2025, Rhode menandakan satu lagi kejayaan besar apabila secara rasmi dilancarkan di pusat sehenti kecantikan, Sephora.
BACA LAGI: Selepas 5 tahun dilancarkan, jenama Haus Labs oleh Lady Gaga kini masuk pasaran Malaysia
Rhode diasaskan oleh Hailey kerana minatnya terhadap penjagaan kulit. — Instagram/@haileybieber
Pelancaran tersebut bukan sahaja membuktikan kejayaan komersialnya, malah mengukuhkan kedudukan Rhode sebagai salah satu jenama penjagaan kulit paling berpengaruh di dunia hari ini.
Bermula dari minat
Hailey yang juga isteri kepada penyanyi sensasi, Justin Bieber melancarkan Rhode pada tahun 2022 kerana minatnya terhadap penjagaan kulit.
Nama jenamanya diambil daripada nama tengahnya, Rhode.
Visi beliau ialah untuk menghasilkan produk yang berkesan, selamat, dan mudah digunakan. Setiap produk dibangunkan bersama pakar dermatologi.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu dalam temu bual bersama Beautifaire berkata, beliau mempunyai visi, idea dan kreativiti tetapi tiada kepakaran berkaitan kimia atau dermatologi.
Justeru, beliau bekerjasama dengan ahli kimia kosmetik berpengalaman, Ron Robinson dan pakar dermatologi, Dr. Dhaval Bhanusali dalam membangunkan formulasi produk.
Keluaran pertama Rhode menampilkan tiga produk utama melibatkan Peptide Glazing Fluid, Barrier Restore Cream dan Peptide Lip Treatment.
Gabungan keberkesanan formula, rekaan yang cantik dan bahan berkualiti tinggi menyebabkan jenama terlibat cepat mendapat tempat dalam kalangan pengguna.
'Casing' telefon Rhode yang menjadi fenomena dalam kalangan penggemarnya. — Instagram/@rhode
'Penangan' media sosial
Hanya dua bulan selepas dilancarkan, Rhode memenangi Allure Best of Beauty Award.
Salah satu produknya Glazing Milk menjadi kegemaran ramai berikutan ia memberi kesan glowing.
Selain itu, Rhode juga mendapat pengiktirafan dari National Eczema Association, sekali gus membuktikan produknya selamat dan sesuai untuk kulit sensitif.
Satu lagi produk yang mencetuskan fenomena ialah Peptide Lip Treatment yang mengandungi perisa Strawberry Glaze.
Ia menjadi popular selepas trend solekan 'strawberry makeup' yang dicetuskan oleh Hailey sendiri.
Trend tersebut kemudiannya membawa kepada kolaborasi bersama jenama donut, Krispy Kreme serta pasar raya elit Erewhon, dengan pelancaran minuman Strawberry Glaze Skin Smoothie yang menjadi antara paling laris.
Melihat sambutan luar biasa, Rhode terus memperkenalkan produk baharu seperti Pocket Blush serta casing telefon yang membolehkan pengguna untuk meletakkan pelembab bibir pada belakangnya.
Inovasi tersebut tular di TikTok dan Instagram, sekali gus menarik lebih ramai peminat.
Jadi ikutan selebriti dan penggemar kecantikan
Kejayaan Rhode turut diperkukuhkan apabila selebriti terkenal seperti Ariana Grande, Zendaya, Jennie (Blackpink), Bella Hadid dan Sabrina Carpenter dilihat menggunakan produk ini.
Kempen iklannya pula menampilkan wajah-wajah terkenal dunia fesyen seperti Claudia Schiffer, Alex Consani, Gabriette, Precious Lee dan Tate McRae.
Walaupun hanya dipasarkan di beberapa negara, pengaruh Rhode sangat luar biasa.
Pada tahun 2022, Hailey menghiasi muka depan majalah Forbes dan mendedahkan bahawa Rhode berjaya menjana hampir 10 juta AS dolar (RM43 juta) hasil daripada tiga kali restock sahaja.
Kini, pada tahun 2025, nilai jenama ini mencecah 1.4 bilion dolar AS (RM5 bilion).
Sumbang semula kepada komuniti
Rhode bukanlah sekadar jenama kecantikan, malah turut aktif dalam usaha kebajikan melalui inisiatif Rhode Futures Foundation.
Misi utama yayasan itu adalah untuk menyokong wanita dalam mendapatkan akses kepada pendidikan, kesihatan dan peluang perniagaan.
Antara pencapaian utama:
• 400,000 dolar AS (RM1.7 juta) disalurkan kepada 11 perniagaan milik wanita
• 165 perniagaan diusahakan wanita menerima bantuan mentor, latihan dan pembangunan perniagaan
• 90,000 orang mendapat akses kepada bantuan kesihatan segera melalui chatbot Planned Parenthood, Roo.
• 100,000 dolar AS (RM430,000) disumbangkan untuk membantu ibu dan keluarga yang terkesan akibat kebakaran hutan di Maui, Hawaii, AS.
Menjelang akhir 2023, Yayasan terlibat menyasarkan untuk membantu lebih 1,000 wanita dan keluarga mereka melalui kerjasama dengan tiga organisasi yang memberi fokus kepada kesaksamaan, kesihatan ibu dan pendidikan.
Kini, Rhode memasuki fasa baharu selepas berada di Sephora.
Gabungan inovasi produk, tanggungjawab sosial dan gaya hidup moden menjadikan Rhode bukan sekadar jenama penjagaan kulit, tetapi satu gerakan global dalam dunia kecantikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram