
FENOMENA patung berbulu comel Labubu bukan lagi sekadar mainan kanak-kanak.
Populariti yang melonjak mendadak sejak tahun lepas menyebabkan ribuan peminat dewasa di seluruh dunia termasuk di United Kingdom (UK) sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk memilikinya.
Namun, permintaan yang melampau akhirnya memaksa pengeluarnya, Pop Mart menghentikan jualan di semua 16 cawangan di UK sehingga Jun.
BACA LAGI: Elak bayi kena komplikasi batuk kokol, KKM tawar vaksin Tdap percuma buat wanita hamil
Antara ciri patung asli Labubu (kiri) adalah mempunyai sembilan gigi.
Langkah itu diambil atas sebab keselamatan, susulan laporan berlaku pergaduhan dalam kalangan pelanggan dan barisan panjang yang bermula sejak malam sebelumnya, hanya untuk menjadi antara yang terawal mendapatkan patung Labubu.
"Kami sedang menilai semula cara edaran patung ini supaya semua orang mendapat peluang yang lebih adil dan selamat," menurut kenyataan Pop Mart di Instagram.
Fenomena Labubu semakin naik pada 2024 selepas bintang K-Pop terkenal, Lisa Blackpink berkongsi foto dengan patung tersebut di media sosial.
Tidak lama selepas itu, nama-nama besar seperti Rihanna dan Dua Lipa turut dilihat memiliki Labubu sehingga menjadikan patung rekaan artis Hong Kong, Kasing Lung sebagai ikon koleksi baharu.
Menariknya, Labubu dijual dalam bentuk ‘blind box’ iaitu kotak misteri yang tidak membenarkan pembeli mengetahui jenis patung yang mereka peroleh sehingga kotak dibuka.
Elemen kejutan inilah yang menambah daya tarikannya dan juga keghairahan melampau dalam kalangan pengumpul.
Seorang peminat tegar dari Northamptonshire, Ashley Bushey, 32, berkata, beliau telah membelanjakan lebih £1,000 (RM6,400) untuk mengumpul 13 patung Labubu dan menggambarkan situasi pembelian sebagai 'medan perang.'
"Saya habiskan berjam-jam di TikTok Shop, Vinted dan kumpulan Facebook semata-mata nak cari Labubu.
"Sekarang lagi susah sebab jualan rasmi dihentikan. Setiap hari saya intai siaran langsung Pop Mart dari pukul 2 petang hingga pukul 7 malam.
"Kadang-kadang curi masa kerja semata-mata nak cuba beli satu,” katanya.
Labubu edisi biasa dijual pada harga sekitar £17.50 (RM110).
Namun, di pasaran semula, harganya melonjak kepada £30 (RM190), malah patung edisi terhad seperti versi lelaki yang sangat jarang ditemui boleh mencecah hingga £600 (RM3,800).
Salah satu patung yang dimiliki Ashley, Zimomo dibelinya pada harga £200 (RM1,280).
Disebabkan permintaan tinggi, pasaran turut dibanjiri patung tiruan yang digelar 'Lafufu.'
Penjual tidak jujur dilaporkan menukar isi kandungan kotak asli dengan patung palsu, namun masih menggunakan kotak sebenar untuk mengelirukan pembeli.
“Ada yang buka kotak dari bawah, masukkan patung tiruan tapi biarkan kotak nampak elok dari luar. Ada juga yang guna kod QR palsu untuk tipu pembeli,” jelas Ashley.
Ciri utama membezakan patung asli dan tiruan adalah bilangan gigi iaitu patung asli Labubu mempunyai sembilan gigi, manakala versi palsu lazimnya mempunyai bentuk kepala yang pelik, anggota badan berpintal dan gigi yang tidak lengkap.
Pop Mart menegaskan pihaknya sedang menyusun semula strategi jualan agar semua pelanggan dapat membeli Labubu secara lebih selamat, adil dan tersusun.
Buat masa ini, peminat di UK terpaksa bersabar atau berebut dalam pasaran semula yang kini semakin hangat dan penuh risiko. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram