Bersahabat hampir 3 dekad, tak selalu bertemu namun sering 'curhat', TokTi sambut kunjungan Krisdayanti di kediaman


  • Hiburan
  • Rabu, 25 Jun 2025

Krisdayanti ketika bergambar bersama TokTi yang anggun berbusana hijau, turut ditemani dua orang anaknya. — Instagram/@ctdk

DI sebalik kesibukan jadual seni dan kehidupan peribadi, Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sempat mengabadikan momen istimewa bersama rakan seperjuangan dan sahabat baiknya dari seberang, iaitu penyanyi, Krisdayanti, dalam satu pertemuan mesra di kediamannya baru-baru ini.

Hantaran di Instagram milik Siti atau mesra dipanggil TokTi, memaparkan sisi peribadi persahabatan yang terjalin hampir tiga dekad dengan diva Indonesia itu.

Ikatan dua nama besar dalam dunia muzik rantau ini bukan sekadar hubungan profesional, tetapi dibina atas kerjasama dalam bidang seni dan terus berkembang menjadi persahabatan yang kekal hingga ke hari ini.

BACA LAGI: Anjur 'protes' di 'runway', Sejauh Mata Memandang gegar pentas Jakarta demi masa depan bumi

BACA LAGI: Lepas 5 hari usaha menyelamat, Juliana Marins disahkan meninggal dunia lepas terjatuh gaung di Gunung Rinjani

 

 

“Kami tidak selalu bertemu, namun sering curhat dan bertanya perkembangan masing-masing sama ada dalam kehidupan atau kerjaya,” tulis Tokti di ruangan kapsyen.

Dalam video dan gambar yang dimuat naik, Tokti kelihatan mesra melayani tetamu istimewanya itu dengan pelbagai hidangan tempatan termasuk durian sambil berbual santai dan bergurau mesra.

Dalam pertemuan itu juga, Krisdayanti dilihat hadir bersama anak perempuannya, Aurel Hermansyah, menantu, Atta Halilintar serta dua orang cucunya

“Terima kasih @krisdayantilemos kerana sudi bertandang ke rumah saya dengan anak-anak, menantu dan juga dua cucu tersayang,” kata TokTi.

Pertemuan terbaharu itu menambah satu lagi detik istimewa dalam sejarah persahabatan TokTi dan Krisdayanti yang terjalin sejak penghujung 1990-an.

Persahabatan dua wanita tersebut mula mekar sekitar era 90-an, ketika TokTi mula mencipta nama di Malaysia, manakala Krisdayanti sudah pun menjadi ikon muzik di Bumi Garuda itu

Kedua-duanya kemudian mengabadikan keakraban itu dalam bentuk karya seni menerusi album duet Canda Tangis Ketawa Duka (CTKD) yang diterbitkan pada tahun 2009.

Album tersebut menjadi simbolik kepada segala suka duka yang mereka kongsikan sepanjang persahabatan.

Lebih menarik, judul CTKD itu sendiri merupakan gabungan nama gelaran mereka yang mana CT bagi Siti Nurhaliza dan KD bagi Krisdayanti.

Selain CTKD yang menjadi simbol persahabatan mereka, TokTi dan Krisdayanti juga pernah bekerjasama dengan komposer-komposer tersohor seperti Aubrey Suwito, Audi Mok dan Melly Goeslaw dalam penghasilan lagu-lagu yang meninggalkan impak besar kepada peminat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram