RM10,000 dalam akaun ASB anak tiba-tiba lesap, pentingnya didikan urus kewangan sejak kecil


  • Bonda
  • Ahad, 22 Jun 2025

Ibu bapa perlulah pintar membimbing anak menguruskan duit. — Gambar Hiasan

SEORANG ibu meluahkan rasa kecewa apabila wang simpanan berjumlah RM10,000 yang disimpan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) anaknya hilang tanpa pengetahuan mereka dan lebih memilukan, wang itu dikeluarkan oleh anaknya sendiri.

Menerusi satu hantaran tular di laman Threads, seorang pengguna, Anavrin_818 berkata, wang tersebut pada asalnya dikumpul oleh dia dan suami untuk kegunaan masa depan anak mereka termasuk perbelanjaan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti atau ketika kecemasan.

"Semalam aku baru sedar, RM10,000 duit yang aku dan suami simpan dalam akaun ASB anak kami lesap. Tahu siapa yang ambil? Anak kami sendiri. Hancur luluh hati kami. Dia kata dia ingat itu duit dia.

"Memang ada duit raya dia dalam tu, tapi kebanyakannya adalah duit ayah dia yang simpan selama ini. Dia ambil senyap-senyap tanpa beritahu sesiapa. Itu dikira mencuri, bukan?," katanya. 

BACA LAGI: Ramai tak tahu, cara 'scroll', pegang telefon pintar dedah sisi tersembunyi personaliti anda

BACA LAGI: Jika kerap makan gelojoh, tiada variasi menu, tiba masanya ubah tabiat buruk ini, elak risiko kesihatan

Hantaran itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa yang turut berkongsi kebimbangan sama apabila anak-anak mula mengurus kewangan sendiri selepas dewasa.

Antaranya, seorang doktor perubatan wanita, Dr Rusyainie Ramli tampil memberi pandangan, menekankan bahawa insiden seperti itu wajar dijadikan ruang untuk mendidik anak tentang pengurusan kewangan dan tanggungjawab terhadap amanah.

“Gunakan insiden ini sebagai pintu untuk ajar anak tentang cara nak uruskan duit. Bagi dia faham beza antara kehendak dan keperluan. Keputusan kewangan hari ini beri kesan besar untuk masa depan,” katanya.

Dr Rusyainie berkata, ramai ibu bapa tidak sedar bahawa secara perundangan, akaun ASB yang didaftarkan atas nama anak akan menjadi milik penuh anak itu sebaik sahaja dia mencecah usia 18 tahun.

“Walaupun duit dalam akaun itu adalah hasil simpanan ibu bapa, secara undang-undang ia milik anak. Sebab itu penting untuk jelaskan lebih awal kepada anak tentang niat simpanan itu. Ia bukan untuk dibelanja sesuka hati," katanya. 

Dr Rusyainie berkongsi pengalamannya sendiri ketika anaknya, Zulaikha mencapai usia 18 tahun. 

Katanya, suaminya membawa anak mereka ke pejabat ASNB untuk menguruskan akaun, sambil memberi nasihat agar tidak menyentuh wang tersebut sewenang-wenangnya.

“Anak saya diingatkan bahawa jika dia keluarkan duit ikut suka hati, impian dia nak ke universiti mungkin berkubur. Jadi, dia kena bertanggungjawab dengan simpanan tu," katanya. 

Dr Rusyainie turut menasihati ibu bapa agar tidak bertindak terburu-buru apabila berdepan situasi seperti ini, sebaliknya mengambil masa untuk berbincang secara matang dengan anak.

“Tanya dia kenapa dia ambil duit tu. Mungkin ada hal yang dia rahsiakan. Tapi kalau dia guna untuk beli telefon pintar baru atau berfoya-foya, itu memang sangat membazir," katanya. 

Tambah beliau, ibu bapa perlu bertegas yang bukan membawa maksud marah, tetapi menunjukkan bahawa setiap tindakan ada akibatnya.

“Kalau masih ada baki duit dalam akaun tu, pindahkan ke akaun lain yang dia tak boleh akses. Biar dia belajar untuk kembalikan semula kepercayaan.

"RM10,000 adalah harga yang sangat mahal untuk sebuah kesilapan. Tapi kalau dia berani buat, dia kena berani tanggung," katanya.  Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di  Twitter ,  Facebook ,  Instagram ,  WhatsApp Channel  dan  Telegram