
CADANGAN kerajaan Indonesia untuk membina rumah mini bersubsidi khas buat golongan belia bandar menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk pakar perumahan dan bakal penghuni.
Kritikan utama tertumpu kepada reka bentuk yang dianggap terlalu sempit serta tidak memenuhi piawaian kebolehdiaman dan keselamatan.
Dua reka bentuk rumah mini telah dipamerkan minggu lalu di Lippo Mall Nusantara, Jakarta Selatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Fenomena Jika Bukken, hartanah dijual murah, rupanya ada sejarah ngeri, tragis
Lakaran pelan rumah mini bersubsidi khas Indonesia. — Agensi
Rumah satu bilik tidur berkeluasan 14 meter persegi dan rumah dua bilik tidur seluas 23.4 meter persegi itu bakal dibina di Jakarta serta kawasan sekitar seperti Bekasi, Bogor, Depok dan Tangerang dengan harga bermula Rp 100 juta (RM27,000) hingga Rp 140 juta, bergantung pada lokasi dan saiz.
Menurut Pengarah Perumahan Bandar, Sri Haryati, projek itu menyasarkan golongan muda, khususnya Gen Z yang mahu tinggal lebih dekat dengan tempat kerja dalam kediaman minimalis dan mampu milik.
Bagaimanapun, pemerhati dan aktivis pengguna mendakwa rumah mini itu gagal memenuhi syarat minimum keluasan rumah bersubsidi yang ditetapkan kerajaan sendiri, iaitu minimum 21 meter persegi untuk bangunan di atas tanah seluas 60 hingga 200 meter persegi.
Malah, ia juga tidak menepati piawaian antarabangsa UN-Habitat yang menetapkan keluasan minimum 30 meter persegi bagi setiap unit kediaman.
"Cadangan ini satu langkah ke belakang dalam usaha memenuhi hak rakyat untuk mendapatkan rumah yang selesa," kata Tulus Abadi, Pengerusi Forum Konsumen Berdaya Indonesia (FKBI).
Beliau menegaskan, rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi ruang yang menyokong kesihatan fizikal, kestabilan emosi dan kehidupan keluarga.
Tulus turut memberi amaran bahawa rumah sempit itu tidak sesuai untuk didiami dalam jangka masa panjang dan berisiko ditinggalkan penghuni, sekali gus menyebabkan kawasan perumahan terbiar.
Projek itu menyasarkan golongan muda, khususnya Gen Z yang mahu tinggal lebih dekat dengan tempat kerja. — Agensi
Seorang pelajar universiti di Depok, Rahma, turut berkongsi pandangan serupa.
"Saya melihat sendiri rumah contoh itu, dan saya tidak dapat bayangkan bagaimana mahu hidup selesa di situ. Saya lebih rela menyewa rumah yang lebih besar walaupun mahal, daripada tinggal di rumah yang boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental," katanya.
Sementara itu, pakar perancangan bandar, Anwar Basil Arifin, menegaskan kerajaan perlu mengutamakan reka bentuk rumah yang memenuhi piawaian kesihatan dan keselamatan serta mudah diakses.
Beliau turut mencadangkan pembangunan perumahan vertikal (apartmen mampu milik) sebagai penyelesaian lebih sesuai untuk kawasan bandar yang terhad ruang.
FKBI dan beberapa pemerhati lain menggesa kerajaan membatalkan projek rumah mini itu dan menumpukan kepada penyediaan perumahan mampu milik yang benar-benar menepati keperluan kebolehdiaman dan maruah manusia.
Kerajaan sebelum itu mempertahankan cadangan tersebut sebagai langkah menangani kekurangan hampir 10 juta unit rumah di kawasan bandar.
Namun, majoriti suara masyarakat dan pakar mendesak agar matlamat menyediakan rumah mampu milik tidak mengorbankan nilai asas kehidupan dan kesejahteraan rakyat. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram