Sanggup tinggalkan gaji lumayan dunia korporat, Florence Sinniah pilih bantu individu di ambang putus asa


  • Sukses
  • Ahad, 22 Jun 2025

Florence bersama kakitangannya dalam perbincangan di pejabat Sneham di Seri Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

PERNAH berada di puncak kerjaya korporat dengan gaji yang tinggi, Datuk Dr Florence Sinniah memilih untuk meninggalkan segalanya demi menubuhkan sebuah talian bantuan pencegahan bunuh diri, Sneham Malaysia.

Florence, yang sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Kanan Sumber Manusia di syarikat multinasional berkata, keputusan itu dibuat selepas menyedari keperluan mendesak terhadap sokongan kesihatan mental.

"Saya tinggalkan kerjaya ketika prestasi saya berada di tahap terbaik. Tetapi saya tahu saya ada tanggungjawab lain,” katanya yang kini merupakan pengasas dan pengerusi Sneham Malaysia.

BACA LAGI: Ramai tak tahu, cara 'scroll', pegang telefon pintar dedah sisi tersembunyi personaliti anda

BACA LAGI: Tak perlu menunggu lama, saintis berjaya cipta ujian ultra pantas yang boleh kenal pasti jenis tumor otak dalam masa 2 jam

Florence turut mempunyai latar belakang dalam bidang kejururawatan psikiatri dan bidan sebelum beralih ke dunia korporat. 

Pengalaman berurusan dengan kakitangan yang mengalami tekanan mental membuka matanya terhadap isu kesihatan emosi di tempat kerja.

"Saya pernah tangani kes jurutera yang mengalami tekanan melampau kerana memimpin pasukan global. Dari situ saya sedar, sokongan emosi perlu diberi keutamaan," katanya.

Pada 2009, Florence mula menjadi sukarelawan di talian Befrienders dengan mengambil syif tengah malam pada setiap minggu. 

Pada 2018, beliau meletak jawatan dan menubuhkan Sneham yang bermaksud 'kasih sayang' dalam bahasa Tamil iaitu sebuah talian sokongan krisis berpusat di Pulau Pinang.

Sehingga kini, Sneham mempunyai 35 sukarelawan aktif dan 48 ahli secara keseluruhan.

Sejak 2019, talian itu telah menerima 9,235 panggilan, membalas 2,292 mesej WhatsApp, menjalankan 128 sesi kaunseling bersemuka serta mengadakan program kesedaran di 193 sekolah dan komuniti.

Data turut menunjukkan lonjakan panggilan semasa pandemik iaitu daripada 375 pada 2019 kepada 1,885 pada 2023 yang menandakan peningkatan tekanan emosi dalam kalangan rakyat.

“Kesakitan emosi sukar dilihat. Tetapi kita mungkin mampu selamatkan nyawa dengan hanya mendengar tanpa menghakimi,” jelasnya.

Namun, beliau mengakui operasi Sneham berdepan kekangan sumber manusia dan kewangan.

Usaha berterusan digerakkan bagi menambah sukarelawan dan menampung kos operasi.

Pada 2020, Sneham menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi anugerah Stars of Covid, apabila terpilih sebagai satu daripada 100 penerima daripada lebih 1,600 pencalonan global.

Sementara itu, Anugerah Star Golden Hearts Award (SGHA) kembali bagi edisi ke-11 tahun ini dengan kerjasama strategik McDonald’s Malaysia, bagi mengiktiraf rakyat Malaysia yang menunjukkan nilai kemanusiaan luar biasa dalam masyarakat.

SGHA turut memperkenalkan Anugerah Caring Hearts McDonald’s iaitu satu penghargaan khas kepada individu atau kumpulan akar umbi yang memberi kesan besar melalui tindakan penuh belas ihsan.

Sejak 2015, lebih 100 individu dan organisasi telah diiktiraf di bawah SGHA atas sumbangan mereka dalam memperkasa komuniti di seluruh negara. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram