Tak perlu menunggu lama, saintis berjaya cipta ujian ultra pantas yang boleh kenal pasti jenis tumor otak dalam masa 2 jam


  • Sihat
  • Selasa, 03 Jun 2025

Pesakit boleh mendapatkan jawapan dengan lebih cepat iaitu dalam masa sesingkat dua jam.

SAINTIS berjaya membangunkan satu ujian ultra-pantas yang mampu mempercepatkan proses diagnosis tumor otak daripada beberapa minggu kepada hanya dua jam selepas pembedahan.

Kebiasaannya, pesakit perlu menunggu antara enam hingga lapan minggu untuk mengetahui jenis tumor otak yang mereka alami. 

Namun, penyelidik dari Universiti Nottingham dan Nottingham University Hospitals NHS Trust (NUH), United Kingdom mencipta satu kaedah baharu yang bukan sahaja lebih cepat dan tepat, malah lebih murah berbanding kaedah konvensional.

BACA LAGI: Sudah diet, bersenaman tapi perut masih buncit? Ketahui 9 punca 'belly fat' ramai terlepas pandang

BACA LAGI: Tak sangka pencinta buku fizikal ada 7 tabiat unik, jarang dimiliki orang lain terutama 'point' nombor 2

Dikenali sebagai Rapid Nanopore Brain Intraoperative Classification (ROBIN), teknologi itu menggunakan peranti mudah alih penjujukan DNA daripada Oxford Nanopore Technologies bagi menganalisis sampel tumor secara genetik semasa atau sejurus selepas pembedahan.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Neuro-Oncology itu menunjukkan keputusan ujian adalah selaras dengan standard rawatan semasa dalam 90 peratus kes daripada 50 pesakit yang diuji.

Profesor Biologi Pembangunan dan Komputasi dari Universiti Nottingham, Dr Matt Loose menjelaskan bahawa teknologi itu menumpukan kepada penjujukan bahagian spesifik DNA manusia dengan kedalaman yang lebih tinggi sehingga membolehkan pengenalpastian tumor yang lebih tepat dalam masa yang jauh lebih singkat.

“Bukan sahaja ujian ini lebih tepat dan pantas, tetapi ia juga lebih menjimatkan berbanding kaedah sedia ada,” katanya.

Pakar bedah saraf di NUH, Dr Stuart Smith berkata, proses diagnosis tumor otak sangat perlahan dan mahal sebelum ini. 

"Kini, dengan teknologi baharu, kami boleh mendapatkan jawapan dengan lebih cepat, yang sangat penting dalam membuat keputusan klinikal dalam masa sesingkat dua jam," katanya. 

Tambah beliau, ujian ini begitu pantas sehingga boleh digunakan secara intra-operatif (semasa pembedahan) untuk membantu pakar bedah dalam menentukan strategi pembedahan yang lebih berkesan.

Sementara itu, perunding neuropatologi di NUH, Dr Simon Paine berkata, kaedah baharu itu benar-benar akan mengubah landskap diagnosis tumor otak. 

"Ia bukan sahaja mempercepatkan keputusan, malah tahap ketepatan yang ditawarkan juga amat luar biasa," katanya. 

Ketua Pegawai Saintifik The Brain Tumour Charity, Dr Simon Newman turut menyifatkan penemuan itu sebagai satu perubahan besar dalam dunia perubatan.

“Penyampaian diagnosis yang tepat dalam masa beberapa jam selepas pembedahan akan mengubah hidup pesakit. Ia membantu memastikan mereka dapat akses rawatan secepat mungkin,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa kemampuan ujian itu untuk menggantikan pelbagai ujian berasingan kepada satu prosedur tunggal di peringkat hospital tempatan merupakan langkah penting ke arah kesamarataan dalam penjagaan kesihatan.

Dengan teknologi ROBIN itu, pesakit kini berpeluang memulakan rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi lebih awal. 

Tidak hanya itu, ia membawa sinar harapan baharu kepada mereka yang berdepan detik paling mencabar dalam hidup mereka. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram