
JIKA anda menetap di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, pastinya ternampak sebuah bangunan bata merah yang unik berdiri megah, dikelilingi kaca sehingga membolehkan pemandangan alam semula jadi masuk tanpa halangan.
Struktur berbentuk trapezium itu menarik perhatian, namun falsafah di sebalik pembinaannya sangat praktikal dan dekat dengan alam.
Direka oleh arkitek Lim Kee Yen, pemiliknya, pasangan suami isteri dan peguam, Lai Chee Hoe dan Ng Su-San, mahu mencipta ruang moden tetapi masih menghargai keindahan alam sekitar.
BACA LAGI: ‘Sokongan keluarga sangat penting’, Goh Liu Ying kongsi pengalaman manis lepas bergelar ibu
BACA LAGI: Goh Lui Ying fokus cungkil permata baharu badminton, percaya Malaysia di landasan terbaik
Bangunan yang dikenali sebagai Conservatory itu adalah kediaman persendirian direka sebagai kanvas seni bina, terletak di atas lot bandar kecil dengan keluasan binaan kira-kira 20,000 kaki persegi (1,858 meter persegi) merangkumi beberapa tingkat.
Struktur itu menyatu dengan alam semula jadi sekelilingnya dan apabila berada di dalamnya, pengunjung berasa seolah-olah dikelilingi kehijauan.
"Reka bentuk bangunan ini secara aktif berinteraksi dengan persekitarannya, ia meminjam cahaya, kehijauan dan udara untuk mengubah kekangan ruang menjadi peluang yang kaya dan mengejutkan," kata Lim, yang diperkenalkan kepada pemilik oleh seorang rakan bersama.
Lai (kiri) dan Ng mahukan ruang yang menyatu dengan alam semula jadi.
Lai dan Ng, kedua-duanya rakan kongsi di firma guaman Chee Hoe & Associates, membeli tanah itu pada 2018 dan memulakan pembinaan setahun kemudian.
"Kami suka memandu sekitar kawasan ini melihat bangunan-bangunan, dan ketika itulah kami tahu tanah ini dijual," kata Ng.
"Tanah ini terletak di tengah kehijauan Bukit Persekutuan dan kawasan hijau sebegini semakin sukar ditemui, apatah lagi hanya beberapa minit dari pusat bandar. Kami sentiasa mahukan struktur dengan bata merah dan elemen mentah yang menyatu dengan alam.
“Kami juga mahu banyak pintu dan tingkap kaca supaya cahaya matahari dapat menyinari ruang dalam, seperti rumah kaca untuk menanam tumbuhan, sebab itu kami namakan Conservatory,” jelasnya.
Arca dan hasil kraf di kawasan pejabat membantu memecahkan kebosanan tugasan harian.
Permintaan awal mereka agak luar biasa apabila pemilik tidak mahukan rumah biasa.
Sebaliknya, mereka mahu ruang yang menempatkan bilik peribadi, dewan serbaguna untuk majlis, ruang makan dan ruang kerja ditambah semuanya menggunakan bahan mentah seperti bata tanpa cat, konkrit kasar dan kaca.
"Idea ‘conservatory’ dalam iklim tropika, ruang yang menangkap langit dan taman sebagai elemen hidup menjadi inspirasi utama. Ketika pandemik Covid-19 melanda semasa pembinaan, keperluan berubah. Kami mencadangkan pendekatan lebih radikal iaitu rangka seni bina terbuka dan tidak terhad dengan sekatan minimum supaya ruang boleh diubah suai mengikut masa," kata Lim.
Konservatori berbentuk trapezium mempunyai keluasan binaan keseluruhan kira-kira 1,858 meter persegi merentasi beberapa tingkat.
Masuk ke dalam bangunan itu, suasananya hangat dengan koleksi rekaan tempatan dan antarabangsa serta karya seni milik pemilik, menambah daya tarikan ruang.
Salah satu karya paling menonjol ialah lukisan berwarna-warni oleh artis tempatan neurodivergen, Danial Kushairi yang terpampang di pejabat Ng.
"Ketika kami mempertanggungjawabkan Danial untuk menghasilkan karya seni ini, kami tidak tahu apa yang akan terhasil. Namun, dia berjaya menangkap setiap butiran bangunan dengan sangat cantik," kata Ng.
Foyer telah diubah menjadi galeri seni dengan beberapa lukisan dipamerkan.
Menurut Lim, kepercayaan bersama wujud sejak awal.
"Cadangan pertama kami diterima dengan sedikit perubahan, menunjukkan keserasian nilai. Namun, semasa pembinaan dan pandemik, perbincangan lebih mendalam berlaku. Keperluan ruang berubah dan kami dapat menyesuaikan reka bentuk secara lebih abstrak dan terbuka."
"Kami mengambil peluang ini untuk membayangkan semula konsep kediaman dalam konteks hari ini. Bukan sekadar bilik tetap dan jenis ruang yang kaku, tetapi fokus pada pengalaman ruang yang taktil dan sensori, ditakrifkan bukan oleh dinding, tetapi cahaya, tekstur dan kejujuran bahan. Kami menggunakan ketidaktentuan sebagai alat reka bentuk," tambah Lim.
Bumbung bangunan menawarkan ruang serbaguna untuk pelbagai acara.
Daripada menetapkan fungsi ruang, Lim mengubah suai ruang mengikut keperluan sebagai contoh, foyer dijadikan galeri seni dan garaj diubah menjadi dewan acara.
Bahan seperti bata, logam dan konkrit menjadi permukaan untuk cahaya dan bayang-bayang semula jadi yang bergerak sepanjang hari.
Bilik tidur dan ruang tamu tradisional diubah menjadi ruang terbuka dan fleksibel.
Lim percaya bentuk dan fungsi tidak boleh dipisahkan kerana tingkap bukan sekadar untuk pengudaraan atau pemandangan, tetapi juga momen untuk renungan.
Konkrit terdedah menawarkan ketahanan praktikal dan keindahan mentah yang tenang, terutama bila dipadankan dengan bata atau kaca.
"Kami percaya intuisi dalam membuat keputusan estetik yang berasaskan pengalaman manusia. Contohnya, kami menambah lapisan bata yang menonjol di fasad bukan hanya untuk tekstur, tetapi bagi mencipta bayang halus yang berubah mengikut masa.
"Bukaan tingkap disusun berdasarkan orientasi dan pergerakan cahaya dengan atau tanpa skrin, untuk mencipta momen yang menghubungkan manusia dengan alam dan masa,” katanya.
Ruang udara yang luas membolehkan cahaya semula jadi membanjiri bangunan.
Conservatory sangat unik kerana ia boleh berfungsi sebagai ruang acara, galeri seni atau rumah.
"Kami sengaja menjadikan ruang ini fleksibel. Lif dalam bangunan juga memudahkan pergerakan untuk orang kurang upaya dan sesuai untuk keluarga pelbagai generasi," kata Ng.
"Dari tingkap, kita boleh lihat pokok-pokok tinggi yang sudah lama wujud di sini. Kami mahu bina sesuatu yang baru sambil menghargai keindahan alam yang sudah ada. Banyak pembangunan baharu biasanya membersihkan tapak tanpa meninggalkan pokok. Jadi, tempat seperti ini yang dikelilingi pokok matang adalah benar-benar permata," tambahnya.
Kini, pejabat mereka juga terletak di Conservatory, membolehkan rakan sekerja lebih dekat dengan alam.
"Pejabat pertama kami kecil di Taman Tun Dr Ismail, kemudian berpindah ke Plaza Mont Kiara dan sejak September tahun lepas, kami berada di Conservatory. Perjalanan ini adalah simbol lebih 20 tahun kerja keras," kata Ng. — The Star/RINA AHMAD SAPIUDDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram