Baru kenal tetapi akrab lain macam? Pakar psikologi minta waspada persahabatan yang bergerak terlalu pantas


  • Cinta
  • Sabtu, 21 Jun 2025

Fenomena love bombing juga boleh berlaku dalam persahabatan dengan dikenali sebagai friend bombing. — Gambar Hiasan

JIKA anda pernah mendengar istilah love bombing dalam konteks percintaan, anda mungkin tahu ia merujuk kepada tingkah laku menunjukkan kasih sayang, pujian dan perhatian secara berlebihan kepada seseorang dalam tempoh yang singkat dengan tujuan untuk mengawal atau memanipulasi emosi mereka. 

Namun, fenomena seumpamanya juga boleh berlaku dalam persahabatan yang dikenali sebagai friend bombing.

Menurut pakar kesihatan mental, friend bombing merujuk kepada situasi apabila seseorang rakan menunjukkan keakraban melampau secara mendadak sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pihak satu lagi. 

BACA LAGI: Mampu turunkan ego selepas bertengkar, pakar dedah manfaat mandi bersama bagus untuk keharmonian rumah tangga

BACA LAGI: Tak jadi nikah sebab tunang positif HIV, lelaki buntu cara nak minta pulangkan wang hantaran, berikut penjelasan peguam syarie

Meskipun sesetengah individu mungkin melakukannya atas dasar keterujaan untuk membina hubungan, tingkah laku yang terlalu mendesak itu boleh berubah menjadi toksik.

Ahli terapi dari Scottsdale, Amerika Syarikat, Nicole Sbordone menjelaskan bahawa friend bombing kadangkala tidak dilakukan dengan niat jahat, tetapi tetap membawa kesan negatif. 

"Ada individu yang terlalu teruja untuk mempunyai sahabat baik kerana sebelum ini mereka sukar menjalin hubungan rapat. 

"Namun, keterujaan ini boleh menimbulkan tingkah laku yang menyesakkan atau membuat orang lain rasa terbeban,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tidak kira niatnya, persahabatan yang berkembang terlalu cepat tanpa asas yang kukuh adalah satu amaran.

“Tanpa ruang untuk mengenali antara satu sama lain secara perlahan-lahan, hubungan yang dibina berisiko tinggi untuk berakhir dengan kekecewaan,” katanya.

Seorang lagi pakar, Alison Murphey yang juga merupakan ahli terapi dari Los Angeles dalam bidang trauma dan kebimbangan turut bersetuju bahawa perhubungan persahabatan yang sihat sepatutnya berkembang secara semula jadi dan seimbang.

Berikut merupakan antara tanda-tanda utama friend bombing yang perlu diberi perhatian:

1. Pujian atau hadiah yang berlebihan dan tidak selari dengan tahap hubungan

Seseorang yang baru dikenal beberapa minggu sudah mula memberi hadiah mahal atau memuji secara melampau boleh menjadi tanda awal friend bombing

Contohnya, membeli barangan mewah tanpa diminta atau membuat kenyataan seperti, “Saya tak pernah rasa rapat dengan sesiapa secepat ini” meskipun belum benar-benar mengenali anda.

Fenomena seumpama love bombing juga boleh berlaku dalam persahabatan yang dikenali sebagai friend bombing. — Gambar Hiasan

2. Menimbulkan rasa bersalah apabila anda meluangkan masa dengan orang lain

Perasaan cemburu yang melampau atau tindak balas seperti merajuk apabila anda tidak meluangkan masa dengannya juga merupakan satu bentuk kawalan emosi. 

Ucapan seperti, “Hujung minggu saya tak bermakna tanpa awak,” atau soalan mendesak seperti, “Kenapa tak beritahu awak keluar dengan siapa?” boleh menjadi petanda bahawa ruang peribadi anda sedang digugat.

3. Mendesak hubungan jadi terlalu rapat dalam tempoh singkat

Ada individu yang terlalu cepat mahu melabelkan anda sebagai sahabat baik walaupun hubungan baru sahaja bermula. 

Mereka juga cenderung berkongsi cerita peribadi yang terlalu mendalam atau sensitif sejak awal, sekali gus mencipta suasana yang tidak selesa dan mendesak.

4. Meniru penampilan, minat atau gaya hidup anda

Dalam persahabatan yang sihat, sedikit persamaan dalam gaya dan minat adalah perkara biasa. 

Namun, jika seseorang mula meniru cara anda berpakaian, bercakap atau secara tiba-tiba berkongsi semua minat yang sama seperti anda, ia mungkin usaha untuk mencipta ilusi keakraban yang palsu.

Pakar menasihatkan agar setiap individu mendengar gerak hati sendiri dan menilai semula hubungan yang terasa terlalu berat sebelah, mendesak atau mengganggu keseimbangan hidup.

Persahabatan yang sihat seharusnya memberi sokongan, ruang peribadi dan berkembang secara semula jadi. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di  Twitter ,  Facebook ,  Instagram ,  WhatsApp Channel  dan  Telegram