
RAMAI yang teragak-agak untuk membeli emas kerana menunggu harga turun, tetapi menurut pengasas Angsa Emas Jewellery, Datin Normadora Mohd Nor, tanggapan itu perlu diubah.
Katanya, masa terbaik untuk membeli emas adalah ketika seseorang itu mampu, bukan sewaktu harga paling rendah.
“Kalau ada duit boleh terus tukar kepada emas. Boleh terus beli emas. Jangan tunggu-tunggu. Nanti duit pun tak tahu ke mana, emas pun tak tahu ke mana," katanya ketika ditemu bual Majoriti.
BACA LAGI: Si cilik penghafal Al-Quran, fasih berbahasa Arab jadi inspirasi ibu bapa dalam mendidik anak
Datin Normadora Mohd Nor.
Pandangan tersebut lahir daripada pengalaman bertahun-tahun mengurus jenama Angsa Emas Jewellery yang kini menjadi pilihan ramai penggemar emas tempatan.
Bermula dengan jualan secara dalam talian, beliau kemudian membuka butik fizikal dan memperkenalkan rekaan yang bukan hanya cantik, tetapi juga sesuai dijadikan aset jangka panjang.
Minat jadi empayar
Menurut beliau, minat terhadap emas bermula sejak kecil, hasil pengaruh ibu dan neneknya. Beliau mula menjual secara atas talian sebelum menubuhkan Angsa Emas Jewellery secara rasmi sembilan tahun lalu.
“Pengaruh tentang emas ni memanglah daripada kecil lagi saya dah terdedah dengan aksesori emas daripada saya punya ibu dan nenek.”
Angsa Emas Jewellery dikenali dengan rekaan moden dan minimalis yang dihasilkan menggunakan emas 916. Jenis ini menjadi pilihan ramai kerana kandungan emasnya yang tinggi serta mudah dibentuk menjadi pelbagai rekaan perhiasan.
"Saya bukan sekadar jual emas, tapi juga nilai pada rekaan," tegasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa emas hadir dalam pelbagai mutu seperti 999, 999.9, 916 dan 750. Namun, untuk barang kemas, mutu 916 adalah yang paling tinggi.
Sementara itu, emas putih dan rose gold sebenarnya hanyalah emas biasa dengan salutan krom pada bahagian luar dan tidak mempengaruhi mutu asas emas tersebut.
Angsa Emas Jewellery dikenali dengan rekaan moden dan minimalis yang dihasilkan menggunakan emas 916. — Instagram/@angsaemasjewelleryofficial
Beli emas, bukan alasan
Harga emas yang berubah-ubah sering menjadi alasan untuk menangguhkan pembelian. Namun menurut beliau, pendekatan ini merugikan kerana nilai wang kertas lebih mudah menyusut berbanding emas.
“Tak perlu tunggu ekonomi dunia stabil. Kalau ada duit, terus beli. Jangan simpan dan tunggu harga turun baru nak beli. Itu sebenarnya langkah yang salah,” ujar wanita berusia 40 tahun itu.
Ini terpakai bukan sahaja untuk pelabur, malah untuk wanita yang bakal mendirikan rumah tangga. Beliau menyarankan agar emas dijadikan komponen utama dalam hantaran kahwin.
“Sebab itu, untuk jamin keselamatan sebagai wanita, biarlah dapat emas lebih sedikit. Nilainya masing-masing sendiri kena bijak urus," jelasnya.
Gelang 'beads' bukan sekadar aksesori, tapi pelaburan senyap yang boleh dikumpul sedikit demi sedikit hingga mencecah puluhan ribu ringgit. — Instagram/@angsaemasjewelleryofficial
Pelaburan senyap: Beads dan Gold Bar
Angsa Emas turut menawarkan gelang beads yang boleh diisi secara berperingkat. Kaedah ini digelar ‘pelaburan senyap’ kerana ia tidak membebankan dan sesuai untuk simpanan bulanan.
“Beli beads ini maksudnya beli sedikit demi sedikit, tapi boleh diisi dalam gelang. Ini pun satu bentuk pelaburan senyap,” kata beliau sambil menambah bahawa kaedah ini sesuai untuk mereka yang mahu menyimpan tanpa rasa terbeban, malah tetap bergaya.
Beads ini dijual serendah RM400 sebiji dan boleh mencecah puluhan ribu apabila dikumpul secara konsisten.
“Tahu-tahu dah 50 gram (g). Kalau 20g pun dalam RM20,000 macam tu.”
Selain itu, gold bar juga semakin popular, bukan sahaja sebagai simpanan peribadi malah sebagai hadiah korporat.
“Ramai yang beli gold bar, sangat ramai. Kami juga terima tempahan khas, contohnya untuk staf syarikat sebagai ganjaran. Kita akan custom ikut logo syarikat,” jelasnya.
Gaya ikut selera, keselamatan tetap utama
Mengulas fenomena gaya 'Mami Jarum' atau 'kedai emas bergerak' yang tular di media sosial, Normadora berpandangan setiap orang berhak bergaya, asalkan peka kepada isu keselamatan.
“Itu hak individu. Kalau mereka suka bergaya begitu, terpulang. Cuma jangan sampai terlalu mendedahkan lokasi atau maklumat diri," tegas beliau.
Menurut beliau, penggayaan emas juga perlu seimbang dengan penampilan keseluruhan agar tidak kelihatan berlebihan.
“Kalau pakaian dah sarat, jangan tambah emas yang banyak. Pakai satu saja pun cukup, asalkan rekaan dia menonjol. Itu pun dah cukup nampak elegan," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram