Bosan gaya lama? Trend 'bouquet' ala 'clutch' semakin diminati pengantin, ini 6 idea gubahan menarik


  • Gaya
  • Rabu, 18 Jun 2025

Jika sebelum ini bunga pegang sinonim dengan pengantin wanita (gambar kanan), kini bouquet ala klac jadi pilihan dan menambah seri hari bahagia (gambar kiri). — Instagram/@yuka.miyatake

HARI bahagia pengantin perempuan selalunya diserikan dengan kehadiran sejambak bunga di tangan.

Campuran pelbagai jenis bunga bukan sahaja menaikkan seri wajah, malah melengkapkan keseluruhan penampilan pada hari istimewa.

Pun begitu, trend jambangan bunga pengantin kini tidak lagi terhad kepada gaya klasik yang digenggam menggunakan kedua-dua belah tangan.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak petani berani keluar kepompong, kini jadi YouTuber masakan terkenal seluruh dunia

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dia jadi mata, saya jadi kaki, tangan', pasangan kekasih OKU saling melengkapi, usahakan studio seni

Sebaliknya, muncul satu trend baharu yang bukan sahaja praktikal, malah tampil lebih bergaya, iaitu jambangan bunga berbentuk klac atau lebih dikenali sebagai bouquet clutch.

Siapa sangka, jambangan bunga boleh digubah persis beg tangan? Dipegang dengan sebelah tangan, jambangan klac bukan sahaja mudah dikendalikan, malah tampil sebagai aksesori fesyen mencuri perhatian.

Walaupun tampil lebih ringkas, susunannya tetap elegan serta mampu menyerlahkan gaya pengantin.

Berikut adalah enam idea gubahan yang boleh dijadikan inspirasi buat pengantin:

1. Gubahan separa bulatan bertatah mutiara

Gubahan berbentuk separa bulatan ini tampil mewah dengan susunan orkid putih, calla lily dan bunga amaranthus menjurai.

Dihiasi dengan juntaian mutiara sebagai pemegang, reka bentuk ini memberi ilusi seakan beg tangan berstruktur.

Gabungan elemen bunga eksotik dan kemasan mutiara mencipta gaya sofistikated, menjadikannya pilihan ideal untuk pengantin yang mahukan sentuhan moden tetapi tetap elegan.

 

2. Orkid merah jambu

Tampil lebih berani dan feminin, klac ini menggunakan orkid merah jambu yang mekar dengan kemas di sebelah sisi, digandingkan dengan calla lily berwarna ungu kemerahan.

Disusun membentuk bulatan yang menyerupai gelung, gubahan ini sangat sesuai untuk pengantin yang mahukan sesuatu yang ringkas tetapi tetap menyerlah di hadapan kamera.

3. Gubahan ala couture 

Gubahan ini menyerlahkan keanggunan melalui bunga berwarna putih seperti calla lily dan orkid kecil yang mendominasi dengan susunan menjurai yang halus.

Mutiara panjang yang tergantung di bahagian tengah menjadikan ia tampak seperti aksesori couture.

Bentuknya menyerupai hati atau separuh bulatan menjadikannya simbol romantik, sesuai untuk pengantin yang sukakan gaya timeless dengan sentuhan ekstra.

 

4. Orkin oren, orkid putih

Gubahan bunga ini ini direka dalam bentuk melengkung menggunakan orkid berwarna oren, calla lilly berona pic lembut serta orkid putih sebagai penyeimbang warna.

Susunan ini memberi penampilan moden dan segar, menjadikan ia pilihan menarik bagi pengantin yang ingin tampil berbeza berbanding gaya sejambak tradisional.

5. Efek dramatik

Gubahan ini mengetengahkan kombinasi warna-warna hangat dan romantik seperti fuchsia, merah jambu dan ungu muda melalui penggunaan orkid, sweet pea dan calla lily.

Disusun dalam bentuk melengkung, ia memberi efek dramatik pada keseluruhan penampilan, sesuai untuk pengantin yang ingin menonjolkan gaya anggun dan penuh karakter pada hari istimewa.

6. Gubahan berjuntai

Dengan gabungan orkid ungu dan putih, tulip putih dan dedaun hijau, gubahan ini dibentuk secara berjuntai dan tersusun kemas.

Rekaannya ringkas, namun cukup menawan dan minimalis.

Ia amat sesuai untuk pengantin yang mahu tampil sederhana, tetapi masih tampak mewah dan berkelas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram