Aspek ergonomik penting sewaktu menyusun perabot, posisi televisyen sebaiknya selaras dengan postur badan


  • Hias
  • Khamis, 19 Jun 2025

Perkongsian bertajuk 'Television Height' itu menekankan satu prinsip mudah tetapi penting iaitu pusat skrin televisyen haruslah sejajar dengan paras mata penonton.

MENONTON televisyen merupakan aktiviti santai yang menjadi rutin harian bagi kebanyakan keluarga.

Namun, adakah anda tahu bahawa cara kita meletakkan televisyen sebenarnya boleh memberi kesan besar kepada keselesaan dan kesihatan tubuh?

Baru-baru ini, Alex Garzab berkongsi sebuah diagram menarik di Facebook, membongkar rahsia ketinggian televisyen ideal untuk pengalaman menonton yang lebih selesa dan ergonomik.

BACA LAGI: Sesi melukis 'still life' diiringi persembahan muzik, galak penyertaan anak muda dekati seni kontemporari

BACA LAGI: Kerja syif malam ganggu jam hormon biologi wanita, berisiko tinggi hidapi asma

Perkongsian bertajuk 'Television Height' itu menekankan satu prinsip mudah tetapi penting iaitu pusat skrin televisyen haruslah sejajar dengan paras mata penonton.

Kenapa? Ini kerana apabila televisyen diletakkan terlalu tinggi atau rendah, kita terpaksa menegakkan atau menundukkan leher secara berlebihan yang akhirnya menyebabkan ketegangan dan ketidakselesaan.

Dalam situasi ruang tamu, yang mana penonton biasanya duduk tegak di atas sofa, paras mata rata-rata berada pada ketinggian sekitar 42 inci atau 107 sentimeter dari lantai.

Oleh itu, televisyen sebaiknya diletakkan pada ketinggian itu agar pandangan selari dengan mata tanpa perlu menengadah.

Kebiasaan meletakkan televisyen terlalu tinggi di dinding sebenarnya boleh menyebabkan ketegangan leher yang tidak diingini, terutama jika sesi menonton berlangsung lama.

Berbeza pula dengan suasana di bilik tidur, yang mana penonton biasanya berbaring atau bersandar di atas katil.

Dalam keadaan itu, paras mata adalah lebih rendah dan berubah mengikut posisi berbaring.

Televisyen sebaiknya diletakkan pada ketinggian itu agar pandangan selari dengan mata tanpa perlu menengadah.

Gambar tersebut menunjukkan bahawa paras mata ketika berbaring biasanya sekitar 36 sentimeter di atas kepala katil jika penonton bersandar.

Oleh itu, televisyen dipasang di bilik tidur harus disesuaikan ketinggiannya agar pusat skrin sejajar dengan paras mata ketika berbaring, sama ada dengan memasangnya pada dinding lebih rendah atau meletakkannya di atas dresser sesuai.

Panduan itu bukan sahaja membantu mengurangkan ketegangan leher, tetapi juga meningkatkan pengalaman menonton secara keseluruhan.

Dengan menyesuaikan ketinggian televisyen mengikut posisi menonton, kita dapat menikmati hiburan dengan lebih santai dan tanpa gangguan kesakitan fizikal.

Selain itu, Alex Garzab turut mengingatkan agar setiap individu mengukur paras mata sendiri kerana ketinggian sofa, katil dan postur badan berbeza antara satu sama lain.

Penggunaan bracket televisyen boleh dilaras juga sangat digalakkan bagi memudahkan penyesuaian ketinggian dan sudut pandang mengikut keperluan harian.

Meletakkan televisyen pada ketinggian tepat adalah satu langkah mudah namun penting dalam dekorasi rumah yang sering diabaikan.

Dengan panduan itu, bukan sahaja ruang tamu dan bilik tidur anda akan kelihatan lebih teratur, malah keselesaan serta kesihatan anda juga terjaga.

Jadi, sebelum anda memasang televisyen baharu atau mengubah susun atur ruang menonton, cuba ukur paras mata dan sesuaikan ketinggian televisyen.

Tubuh yang sihat dan pengalaman menonton menyeronokkan kini boleh dinikmati serentak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram