
WAJAH tanpa secalit solekan sepatutnya bukan isu besar dalam hubungan, lebih-lebih lagi apabila dua insan sedang bersedia melangkah ke alam perkahwinan.
Namun, seorang wanita yang bakal bernikah mengaku tidak pernah keluar bersama pasangannya tanpa mekap dan kini berasa takut untuk menunjukkan wajah sebenarnya selepas bernikah nanti.
Luahan yang dimuat naik di media sosial itu menarik perhatian warga maya.
Saree Abdullah (kiri) dan Nur Balqis sepakat bahawa lelaki yang mampu menerima pasangan seadanya adalah petanda mereka jodoh yang tepat.
Sehubungan itu, Majoriti menemu bual ringkas bersama lima wanita yang kebanyakannya terdiri daripada pempengaruh media sosial bagi mendapatkan pendangan mereka.
Bagi Nur Balqis Fahmi, 28, penerimaan dalam perkahwinan tidak sepatutnya memandang kepada penampilan semata-mata.
“Kalau seseorang itu betul-betul ikhlas nak terima pasangan, mereka tidak akan pandang rupa pun. Solek atau tidak, itu belakang cerita.”
Beliau menambah, jika kecacatan fizikal pun mampu diterima, wajah tanpa solekan seharusnya bukan isu besar.
Bagi personaliti televisyen, Siti Sariah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Saree Abdullah, beliau pula melihat perkara ini dari sudut lebih mendalam.
Beliau menganggap solekan bukanlah segala-galanya.
“Kalau dia takut tunjuk wajah sebenar, itu petanda dia belum benar-benar jujur pada diri sendiri. Kalau lelaki itu adalah jodoh kita sendiri, dia akan terima walau pada keadaan paling rendah sekalipun," tegasnya.
Saree turut menambah, lelaki juga memainkan peranan penting dalam membina keyakinan wanita terhadap diri sendiri untuk tampil lebih yakin tanpa bergantung kepada solekan.
“Sebenarnya rupa cantik pun kita akan tua, tak kekal. Jadi, mungkin pasangan boleh bantu untuk meningkatkan keyakinan wanita yang mereka sayang.
"Mereka kena didik wanita untuk faham bahawa rupa bukan segalanya," jelas finalis Ratu Hijabista 2020 itu.
Sementara itu, Mas Shalisa Azrol pula menekankan keperluan untuk menunjukkan diri sebenar sebelum mendirikan rumah tangga.
"Sebelum kahwin, kena tunjuk sisi kekurangan masing-masing. Jadi apabila sudah berkahwin, tiada apa-apa isu berlaku," ujarnya.
Lelaki juga perlu memainkan peranan dalam meningkatkan keyakinan diri insan tersayang. — Gambar hiasan/Freepik
Wanita berusia 23 tahun itu turut berkongsi pengalaman silam yang melibatkan bekas teman lelakinya menegur perbezaan wajahnya di media sosial dan realiti, yang akhirnya menjadi petunjuk bahawa hubungan itu tidak seharusnya diteruskan.
Sementara itu, Elya Batrisyia Kamirulsyarman, 22, menyifatkan keyakinan diri sebagai kunci utama.
“Semua perempuan ada kecantikan masing-masing dan boleh dia betul-betul sayang, dia akan terima kita seadanya, mekap atau tidak," jelasnya.
Baginya, penolakan kerana rupa adalah isyarat jelas bahawa pasangan itu mungkin bukan orang yang tepat.
Sependapat dengan yang lain, Balqis Johan berpendapat bahawa tahap penerimaan pasangan terhadap diri sebenar seharusnya sudah jelas sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Kalau dah nak kahwin, maksudnya dia dah bersedia untuk terima baik buruk pasangan. Tapi elok juga kalau bincang dulu sebelum kahwin untuk tahu penerimaan dia," kata gadis berusia 25 tahun itu.
Tegasnya, jika pasangan tidak mampu menerima wajah tanpa mekap, mungkin individu itu bukanlah jodoh yang tepat.
Melalui jawapan mereka, jelas bahawa kebanyakan wanita berpendapat penerimaan dalam hubungan tidak sepatutnya bergantung kepada penampilan semata-mata.
Jika kasih sayang itu ikhlas, wajah tanpa solekan tidak seharusnya menjadi satu halangan dalam membina rumah tangga yang jujur dan selesa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram