
JENAMA jam tangan mewah, Omega sekali lagi mencuri perhatian penggemar jam tangan menerusi pelancaran koleksi Aqua Terra 30 milimeter (mm), iaitu barisan jam tangan wanita terbaharu yang menyatukan keanggunan rekaan dengan teknologi dalaman berprestasi tinggi.
Selepas lebih dua dekad sejak kemunculan pertama Aqua Terra, koleksi ikonik ini tampil semula dengan saiz baharu yang lebih kecil dan elegan, sesuai untuk pergelangan tangan wanita.
Sebanyak 12 variasi diperkenalkan, termasuk lima model keluli tahan karat, satu model emas 18k SednaTM serta tiga model emas 18k MoonshineTM dalam versi tulen dan dua tona bersama keluli.
Koleksi terbaharu Omega turut memperkenalkan model keluli tahan karat.
Menjadikan koleksi ini lebih istimewa adalah kemunculan dua enjin jam baharu, iaiti Calibre 8750 dan Calibre 8751 yang direka khusus untuk saiz 30 mm.
Kedua-duanya memiliki pensijilan Master Chronometer, daya tahan magnet setinggi 15,000 gauss dan rizab kuasa selama lebih 48 jam.
Setiap jam turut menampilkan paparan tarikh pada posisi nombor enam dan bahagian belakang sarung lutsinar yang memperlihatkan pergerakan dalaman yang halus dan kompleks.
Rekaan gelang tangan integrasi dengan sistem clasp boleh laras turut menjamin keselesaan maksimum.
Harga koleksi ini bermula sekitar RM30,000 dan boleh mencecah sehingga RM182,050, bergantung kepada bahan dan kemasan.
Sebagai pelengkap kepada pelancaran ini, Omega memperkenalkan kempen My Little Secret yang menampilkan enam wanita berpengaruh dari dunia muzik, fesyen dan filem.
Antaranya ialah Danielle yang merupakan anggota kumpulan K-Pop, New Jeans, penyanyi dan pelakon Amerika Syarikat (AS) Ariana DeBose dan pelakon British, Marisa Abela.
Dengan Aqua Terra 30 mm, Omega membuktikan bahawa kuasa sebenar terletak pada butiran yang kecil, namun penuh rahsia dan keanggunan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram