Kerusi khusus buat pakar rawatan 'pedicure' luar rumah, ciptaan 3 pelajar Sabah guna sisa buangan hasilkan


  • Sukses
  • Rabu, 18 Jun 2025

(Dari kiri) Anastacia Francis George, Bevanny Adelia Benedict dan Nur Nadia Natasya Ahmad Zainul Ariffin menghasilkan kerusi khusus buat pakar rawatan 'pedicure' menggunakan sisa buangan.

GABUNGAN kreativiti tiga pelajar tahun akhir Kursus Kecantikan Kolej Vokasional Keningau (KVC), Sabah membuahkan kejayaan apabila mereka memenangi tempat pertama bagi kategori kraf tangan dalam Pertandingan Kreatif Pemuliharaan Laut Antarabangsa 2025.

Ciptaan mereka yang memikat juri ialah sebuah kerusi pelbagai guna yang dinamakan Elegant Throne, dihasilkan sepenuhnya daripada bahan buangan seperti botol plastik, surat khabar lama, beg terpakai, cebisan kayu, dawai dan pakaian terpakai.

Kerusi ini bukan sahaja direka untuk kelihatan menarik, tetapi juga berfungsi secara praktikal, khusus untuk membantu pakar kecantikan melakukan rawatan 'pedicure' di luar rumah.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Hidup ini keras’, pelakon wanita popular kini tukang gunting rambut, bancuh simen

BACA LAGI: [VIDEO] Gajet bantu Aafiyah kuasai bahasa Inggeris, Siti Nurhaliza kawal, tetapkan sejam sehari saja

Ia turut dilengkapi ruang simpanan khas untuk peralatan berkaitan.

Pertandingan anjuran Persatuan Pendidikan Belia dan Kanak-kanak Antarabangsa ini menarik penyertaan inovator muda dari seluruh dunia.

Keputusan diumumkan pada Jumaat lalu menerusi laman web rasmi persatuan tersebut.

Tiga wanita berusia 19 tahun itu melibatkan Bevanny Adelia Benedict (ketua kumpulan), Annyss Anastacia Francis George dan Nur Nadia Natasya Ahmad Zainul Ariffin.

Mereka berjaya memukau panel juri dengan pendekatan lestari mereka yang menggabungkan kreativiti, nilai estetika dan fungsi praktikal dalam menangani isu sisa plastik global.

“Kami mahu tunjukkan bahawa sampah pun boleh dijadikan sesuatu yang cantik dan berguna. Projek ini memberikan saya keyakinan bahawa saya mampu mencipta sesuatu yang inovatif dan praktikal,” kata Bevanny.

Beliau turut menyifatkan pengalaman menyertai pertandingan ini sebagai sangat berharga, apatah lagi ketika sedang membuat persiapan untuk projek akhir tahun dan bercadang melanjutkan pengajian ke universiti.

Ciptaan tersebut turut diinspirasikan daripada prototaip yang pernah dihasilkan oleh pelajar senior mereka sebelum ini, namun kumpulan ini telah menambah baik rekaan tersebut agar lebih ringan dan selesa digunakan.

Pengarah KVC, Encik Lumang Lang memuji usaha pasukan pelajar berkenaan yang menurutnya mencerminkan semangat sebenar pembelajaran vokasional.

“Pelajar kami dididik untuk berfikir secara kritikal dan bertindak secara kreatif menggunakan kemahiran teknikal mereka. Projek ini membuktikan bahawa pendidikan vokasional mampu menjadi penyelesaian kepada masalah dunia sebenar melalui inovasi,” katanya.

Elegant Throne juga selari dengan tema pertandingan iaitu pemuliharaan laut, dengan membawa mesej kesedaran terhadap bahaya pencemaran plastik kepada hidupan marin dan ekosistem laut.

Dalam pembentangan video mereka, pelajar tersebut menutup persembahan dengan mesej menyentuh hati yang turut meninggalkan kesan mendalam kepada para juri.

“Sebuah tempat duduk yang ringkas, dengan janji yang ringkas untuk kurangkan sampah dan lebih ambil peduli," ujar mereka.

Kemenangan ini bukan sekadar pengiktirafan di peringkat antarabangsa, malah menjadi peringatan bahawa dengan visi dan kerjasama, sampah pun boleh ditukar menjadi harapan. — The Star/SANDRA SOKIAL

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram