Peminat Rose jangan lepaskan peluang! Kedai 'pop-up' Rosie kini di Malaysia sehingga 29 Jun, berpeluang memenangi barangan eksklusif


  • Hiburan
  • Selasa, 17 Jun 2025

'Pop-up store' Rosie berlangsung pada 17 sehingga 29 Jun di The Exchange TRX, Kuala Lumpur.

PEMINAT bintang K-pop sensasi, Rose, kini berpeluang merasai sendiri pengalaman pop-up store Rosie yang dinanti-nantikan.

Ia selepas dilancarkan secara rasmi pada Selasa di The Exchange TRX, Kuala Lumpur.

Selepas mencipta fenomena di Seoul, Tokyo, New York dan Hong Kong, kedai pop-up berkenaan membuka pula tirainya di Malaysia pada 17 sehingga 29 Jun, setiap hari bermula pada pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

BACA LAGI: [VIDEO] Alyssa Daguise anggun berkebaya Sunda, sentuhan eksklusif Tex Saverio

BACA LAGI: Bukan sekadar hiburan, kadangkala kiriman meme cara 'halus' ungkap 'saya rindu awak, saya sayang awak'

Antara ruang di pop-up store Rosie yang memberi peluang kepada peminat untuk mengambil gambar. 

Kedai pop-up itu menawarkan pengalaman interaktif berasaskan album solonya yang bertajuk Rosie, lengkap dengan barangan eksklusif, pemasangan interaktif dan berpeluang memenangi barangan koleksi terhad yang sukar diperoleh.

Dibawakan oleh syarikat pelesenan jenama dan harta intelek, Allstar IP, pop-up tersebut mengetengahkan merchandise edisi terhad seperti pakaian, aksesori, bertemakan lagu popular seperti APT dan Number One Girl.

Peminat juga berpeluang memenangi album dan papan selaju (skateboard) yang ditandatangani oleh Rose sendiri.

“Kami sangat teruja untuk membawa kedai pop-up Rosie ke Malaysia dan memberikan peminat akses kepada kandungan eksklusif yang tidak dapat mereka temui di tempat lain.

"Acara ini mencerminkan komitmen kami untuk menghubungkan budaya pop global dengan penonton Malaysia secara menarik dan tulen," kata Pengarah Allstar IP, Esther Goh.

Selain jualan barangan, pembelian minimum turut melayakkan pengunjung menerima hadiah seperti kad foto edisi terhad dan peluang menyertai cabutan bertuah.

Kemasukan adalah percuma dan terbuka kepada umum. Stok barangan terhad dan hanya tersedia selagi masih ada.

Rose atau nama sebenarnya Roseanna Park yang berasal dari New Zealand dan dibesarkan di Australia, memulakan kerjaya solonya pada tahun 2021.

Beliau kemudian melancarkan album sulung bertajuk Rosie pada 6 Disember tahun lalu.

Album tersebut memuatkan 12 lagu termasuk APT yang menampilkan penyanyi terkenal, Bruno Mars sebagai penampilan khas.

Rosie turut memperlihatkan sisi peribadi penyanyi berusia 28 tahun itu sebagai penyanyi dan penulis lagu, dengan tema utama seperti penemuan diri, kehilangan dan kekuatan dalaman yang memberi sentuhan jujur serta mendalam kepada keseluruhan karya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram