
CANTIK menggayakan gaun dengan cetakan corak lilin Afrika berwarna-warni, para model bertubuh gempal melangkah penuh yakin di atas pentas pertunjukan fesyen istimewa yang berlangsung di Kisimu, Kenya.
Dimulakan sembilan tahun lalu, menurut Pengasas East Africa Plus Size Fashion Affair, Winnie Wenga Walcott, ia merupakan satu-satunya acara fesyen di Kenya walaupun pada hakikatnya rantau itu mempunyai ramai wanita bersaiz besar.
"Kami melihat pihak media hanya memberi tumpuan kepada jenis saiz badan tertentu," katanya.
BACA LAGI: Jangan rasa selamat tak nampak asap, 'thirdhand smoke' risiko anak diserang asma
Model disolek rapi sebelum mengatur langkah di pentas fesyen. — Agensi
Di hadapan lebih 300 penonton yang bersorak, puluhan model amatur berjalan dan menari di sepanjang pentas tersebut.
Seorang usahawan Kenya, Oprah Odhiambo yang merupakan antara model pada acara fesyen itu membuktikan bahawa saiz besar mampu melakukan perkara sama seperti model bersaiz kecil.
"Saya sangat gembira. Ada wanita bersaiz besar yang bersembunyi kerana mereka takut orang akan memalukan mereka," katanya sambil menambah bahawa dia berharap persembahan itu akan membuatkan mereka menilai semula imej diri sendiri.
Manakala, penyanyi dan model, Rosemary Odire atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Nyakusa Nyamama berkongsi tentang titik terendahnya ketika membuat persembahan.
"Saya sudah menghadapi begitu banyak masalah, dengan ejekan seperti yo big mama, apa yang kamu buat di sana, kamu tidak boleh menari, turun dari pentas'.
"Tetapi, saya di sini menggambarkan bahawa bukan sahaja bersaiz besar, tetapi kecantikan Afrika dalam diri saya.
"Mereka sangat malu dengan saiz badan mereka, tetapi tidak lagi sekarang," jelasnya.
Pertunjukan fesyen itu pada masa sama berjaya bukan sahaja menangani isu kesihatan mental tetapi turut memfokuskan kepada penerimaan wanita berbeza saiz dan meraikan penampilan mereka dalam dunia fesyen.
Menurut Walcott, acara tersebut dianjurkan bagi menghormati ibunya agar dapat melihat dirinya sebagai wanita yang cantik. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram