
DALAM usaha memecahkan sekatan Israel, kapal bantuan Madleen muncul membawa bekalan makanan dan barang keperluan ke Gaza dari Itali pada 1 Jun lalu.
Usaha tersebut bagaimanapun dihalang apabila Tentera Laut Israel memintas kapal bantuan itu di perairan antarabangsa kira-kira 185 kilometer (km) dari pantai Gaza dan menundanya ke Pelabuhan Ashdod, Tel Aviv.
Namun, tahukah anda terdapat figura penting yang menjadi lambang kekuatan di sebalik nama kapal bantuan Madleen.
Ia sebagai penghormatan kepada satu-satunya nelayan wanita dari Gaza bernama Madleen Kulab.
Berjuang seperti penduduk lain sejak serangan tanpa henti dari Israel bermula 7 Oktober 2023, Madleen, 31, terharu namanya diabadikan pada kapal bantuan tersebut.
Beliau pada masa sama turut berkongsi kisah dan perjalanannya sehingga menjadi inspirasi kepada para wanita lain.
"Saya memulakan perjalanan sebagai nelayan ketika berusia lima tahun.
"Ketika itu, saya menemani bapa dan mula memancing sepenuh masa pada usia 13 tahun apabila bapa mula sakit.
"Seperti semua nelayan Palestin di Gaza, hidup saya berputar di sekitar laut dan rumah.
"Saya juga akan membaca gerakan ombak dan angin untuk mengetahui bila dan di mana lokasi sesuai untuk memancing," katanya.
Madleen menjadi nelayan sejak usianya lima tahun. — Agensi
Ibu kepada empat cahaya mata yang sedang hamil anak kelima itu berkata, perang sejak 7 Oktober 2023 bagaimanapun menghancurkan segala-galanya sama seperti komuniti nelayan di Gaza.
"Bot kami musnah, pukat kami terkoyak. Segala yang kami bina dan penambahbaikan bot, simpanan kami juga dimusnahkan oleh peperangan," ujarnya.
Beliau juga menjelaskan keadaan nelayan Gaza yang menghadapi cabaran besar bukan sahaja cara bekerja, tetapi daripada sekatan beterusan, kekurangan peralatan dan serangan Israel tanpa henti.
"Apabila nama saya dipilih, saya sangat terharu. Mereka (anak kapal) beritahu misi mereka aman.
"Mereka bawa bekalan seperti beras, tepung dan ubat-ubatan," katanya sambil menambah kapal tersebut juga membawa mesej bahawa Gaza tidak bersendirian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram