
PEREKA fesyen tempatan terkenal, Rico Rinaldi Tono (Rico) sekali lagi berkolaboratif bersama jenama kelengkapan hiasan rumah, Objet dengan memperkenalkan set meja makan konsep romantis dan elegan.
Jalinan kerjasama strategik itu, bukan sekadar mahu menghasilkan barangan hiasan yang cantik semata-mata, sebaliknya sebagai platform mengekspresi diri yang lahir daripada minat mendalam terhadap dekorasi rumah dan gemar menjamu tetamu.
“Saya tinggal sendiri dan dekorasi rumah sudah menjadi satu bentuk terapi, apatah lagi saya suka menjemput rakan-rakan dan keluarga datang menjamu selera. Jadi, secara tidak langsung set meja makan ini cerminan diri saya," katanya kepada Majoriti selepas melancarkan Serinity Collection Rico Rinaldi x Objet di Putrajaya pada Khamis.
BACA LAGI: Isteri berhenti bertengkar bukan tanda damai, tapi tidak lagi berharap, suami jangan ambil mudah!
Bagi Rico, susun atur meja makan simbolik dan kesediaan tuan rumah mengalukan kehadiran tetamu untuk menjamu selera hidangan yang disajikan.
Bagi jejaka berusia 38 tahun itu, susun atur dan hiasan meja bukan sekadar soal gaya. Malah, ia mencerminkan suasana mesra terhadap kehadiran tetamu.
“Walaupun kita tak makan ikut gaya Barat yang menggunakan pinggan berlapis-lapis, hiasan tetap penting. Ia membuatkan tetamu rasa dialu-alukan,” ujarnya.
Beliau juga mengakui, ada kalanya elemen hiasan seperti napkin dan pisau kecil hanya digunakan untuk tujuan bergambar, sebelum disimpan semula selepas sesi fotografi selesai.
“Lepas ambil gambar, simpan balik,” katanya sambil ketawa ketika berkongsi sisi peribadinya yang tidak terlalu mengikut tentang ‘peraturan’ meja makan.
Selain itu, Rico juga berkongsi sisi dirinya yang gemar mengumpul kelengkapan dapur, khususnya periuk.
“Kalau ke Kelantan, saya mesti cari barang dapur. Saya memang suka apa-apa yang berkaitan dapur,” kongsinya.
Mengulas mengenai rekaan baharu itu menurut beliau, rekaannya bersama Objet tampil dalam rona putih dan neutral berikutan ia sesuai dengan semua peringkat usia.
“Putih senang dipadankan dengan warna atau hiasan lain,” jelasnya.
Sementara itu, wakil daripada jenama terlibat berkata, kolaboratif tersebut bermula selepas Rico sendiri menghubungi mereka untuk bekerjasama.
Menurut mereka, sebagai syarikat yang menghargai kebebasan berkarya, Rico diberi ruang sepenuhnya untuk menghasilkan rekaan mengikut cita rasanya sendiri.
“Kami biasanya mempercayai pereka yang kami bekerjasama dengan. Kami tidak akan beri banyak komen tentang rekaan mereka, sebaliknya biarkan mereka bebas berkarya,” katanya.
Dua koleksi dihasilkan menerusi kerjasama Rico Rinaldi x Objet ialah Gempita dan Serenity.
Koleksi Gempita menampilkan elemen flora dengan tona kehijauan, manakala Serenity yang baru dilancarkan menonjolkan corak floral eksklusif.
“Saya memang cintakan motif floral. Bagi Serinity, saya mahukan corak lembut, tapi berjiwa. Setiap bunga dan lengkungan yang dicetak di pinggan dan alas meja ada cerita — ia simbol tenang, manis, dan rasa syukur,” jelas Rico. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram