
PELAKON, Nadiya Nissa, 40, menyifatkan segalanya menjadi mudah apabila meletakkan ibu sebagai keutamaan sepanjang mereka menunaikan haji bersama-sama baru-baru ini.
Dalam satu hantaran di Instagram pada Ahad, beliau berkata, perjalanan itu mengajarnya erti berserah, pengorbanan dan kebesaran kuasa-NYA.
“Meniti jejak haji 1445 Hijrah, hati ini belajar berserah sepenuhnya. Kerana hanya DIA yang Maha Kuasa, sedang kita, makhluk-NYA, tiada daya dan upaya.
"Di situlah ujian bermula, dan di sanalah pengorbanan benar-benar terasa,” tulisnya di ruangan kapsyen.
BACA LAGI: Defensif, tiba-tiba terlalu sayang, petanda pasangan anda sedang sembunyi sesuatu
Menurut pelakon drama Adam dan Hawa itu, Nadiya, sejak awal 2024, beliau dan adik-beradik tekad untuk menghantar ibu menunaikan haji.
Mereka mengumpul wang dan memastikan tahap kesihatan ibu dalam keadaan baik bagi membolehkan hasrat itu tercapai.
"Setiap tahun mama merayu, tetapi ALLAH hantar berita baik pada tahun lalu. Mama teruja dan risau. Siapa yang boleh teman mama? Mama kena jaga sebab perut mama sensitif," kongsinya turut memuat naik beberapa kepingan foto.
Tambahnya, beliau dan suami pada awalnya hanya berniat untuk menemani dan membantu ibu sepanjang berada di tanah suci.
Namun, mereka juga akhirnya mendapat peluang menunaikan haji bersama.
"Masya-ALLAH, saat kita letakkan ibu sebagai keutamaan, semuanya ALLAH permudahkan. ALLAH jugalah yang cukupkan rezeki kami boleh ikut mama tunaikan haji," katanya.
Walaupun pada awalnya mereka bimbang tentang keadaan ibu, namun ibunya yang kini berusia 67 tahun merupakan individu paling sihat sepanjang tempoh ibadah tersebut.
"Niat saya dan suami cuma nak berkhidmat untuk mama. Tetapi, rupanya mamalah orang yang paling sihat sepanjang berada di sana. Kami yang batuk dan demam," ujarnya.
“Kami tolak kerusi roda mama dari Arafah ke Muzdalifah dan ke Jamrah. Semua dengan izin dan kekuatan daripada ALLAH,” tambahnya.
Nadiya turut menyifatkan perjalanan tersebut sebagai pengalaman paling bermakna dalam hidupnya, bukan sahaja kerana dapat beribadah, tetapi juga dapat berbakti kepada ibu.
“Berapa banyak gambar mama nak ambil, kita layan sahaja. Ini perjalanan saya bersamamu yang paling gembira,” kata graduan Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram