Tamat latihan polis sambil besarkan 6 anak, Lisa Marie bukti wanita juga mampu ceburi bidang keselamatan


  • Bonda
  • Isnin, 09 Jun 2025

Lisa sempat bergambar dengan lima orang anaknya, manakala anak sulungnya tidak dapat menghadiri majlis tauliah kerana menduduki peperiksaan akhir sekolah. — Agensi

SEORANG ibu kepada enam anak, Lisa-Marie Fitzgerald mencipta sejarah peribadi apabila berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai anggota polis (Garda) di Akademi Garda, Templemore, sebuah bandar di County Tipperary, Ireland baru-baru ini.

Beliau merupakan antara 120 rekrut baharu yang diraikan dalam majlis tamat latihan pada Jumaat lalu.

Wanita tersebut bakal bertugas di Balai Polis Buncrana, Daerah Donegal.

BACA LAGI: 'Semua jadi mudah apabila utamakan mama', Nadiya Nissa kongsi momen manis tunai haji bersama ibu tersayang

BACA LAGI: Elak bengkak susu, pakar kongsi 5 tip hasil perahan lebih berkesan, perlu lakukan 'breast maintenance'

Menurut kenyataan rasmi An Garda Siochana, latihan sebagai anggota polis sangat mencabar dan memerlukan komitmen yang tinggi.

Justeru, sokongan ahli keluarga amat penting sepanjang proses latihan.

“Lisa melangkah ke dunia kepolisan dengan semangat untuk melindungi keselamatan rakyat Ireland sambil membesarkan enam anak.

"Anak sulungnya tidak dapat hadir ke majlis tauliah kerana sedang menduduki peperiksaan akhir sekolah, namun kami yakin dia sangat berbangga dengan ibunya,” kata kenyataan itu.

An Garda Siochana turut memuat naik beberapa gambar Lisa bersama anak-anaknya di kolej latihan sebagai penghargaan atas pengorbanannya.

Tambah mereka lagi, pihak akademi berkenaan kini mengiktiraf peranan wanita dalam pasukan itu sambil mengimbas kembali sejarah silam yang menyekat penyertaan wanita dalam bidang terlibat.

"Suatu ketika dahulu, wanita dilarang menyertai pasukan keselamatan ini. Kini, Lisa antara wanita membuktikan kemampuan mereka dalam bidang kepolisan dan kepimpinan," ujar kenyataan itu lagi.

Orang ramai turut membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah.

“Sangat inspirasi buat kami para wanita dan ibu. Kadang-kadang kami rasa hanya seorang isteri dan ibu semata-mata, tetapi Lisa membuktikan golongan ibu juga mampu memulakan kerjaya. Tahniah dan semoga selamat selalu!," kata seorang pengguna media sosial. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram