
TABIAT merokok sememangnya mampu memberi kesan bahaya bukan sahaja kepada perokok, malah terhadap orang di sekelilingnya.
Asap rokok secara langsung atau tidak sebenarnya amat berisiko terutama kepada kanak-kanak.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesahkan bahawa asap rokok mampu membahayakan kesihatan, merosakkan pendengaran serta sistem pernafasan kanak-kanak.
BACA LAGI: Ketahui personaliti anda wanita riang, pemalu, berkerjaya dengan 6 gaya galas beg tangan
Asap rokok boleh menjadi pembunuh senyap kanak-kanak. — Gambar hiasan/Agensi
Golongan itu pada masa sama boleh menjadi perokok pasif atau dipanggil sebagai secondhand smoker walaupun hanya terhidu asap rokok sekunder yang disebarkan oleh perokok.
Namun, tahukah anda bahawa asap rokok juga boleh melekat pada objek di sekelilingnya seperti pakaian, sofa termasuk anggota badan.
Keadaan itu dikenali sebagai thirdhand smoke yang bermaksud sisa asap rokok yang tidak kelihatan tetapi sangat bahaya jika dihidu kanak-kanak.
Berdasarkan satu kajian dari Universiti Tulane, Amerika Syarikat (AS), kebanyakan ibu bapa tidak mengambil serius tentang situasi berkenaan.
Cara asap rokok ketiga tersebar di sekitar kawasan apabila di rumah. — Gambar hiasan/Agensi
Asap ketiga?
Menurut kajian sama, asap ketiga itu berlaku apabila sisa-sisa kimia daripada rokok tersebar dan berlegar-legar di dalam rongga fabrik atau perabot.
Zarah-zarah kecil yang tidak dapat dilihat itu secara tidak langsung boleh disedut oleh anak ketika bermain atau menyentuh permukaan objek tercemar tersebut.
Lebih mengejutkan apabila kajian itu mendapati bahawa 60 peratus ujian air kencing kanak-kanak yang dirasakan selamat oleh ibu bapanya kerana tidak terkena asap rokok secara terus positif nikotin tahap rendah.
"Penemuan ini bagaimanapun tidak menunjukkan bahawa ibu bapa berbohong sebaliknya bercakap tentang sifat invasif asap ketiga dan betapa sukarnya untuk dikeluarkan dari bangunan, kereta dan perabot.
"Asap ketiga juga adalah konsep yang baharu, tetapi penyelidikan berterusan menunjukkan ia menimbulkan ancaman senyap yang sangat toksik kepada kanak-kanak, terutama kepada mereka yang menghidap asma," kata pengarang utama, Katherine McKeon.
Asap ketiga sekali gus mampu menjadi punca kanak-kanak yang sihat diserang asma.
Ambil langkah pencegahan awal apabila melihat gejala pada anak. — Gambar hiasan/Agensi
Gejala Asma
Ibu bapa juga disarankan untuk mengambil langkah pencegahan awal selain menghentikan amalan merokok.
Menerusi maklumat dikongsikan KKM, pesakit asma kebiasaannya berasa tidak selesa pada saluran pernafasan.
Terdapat beberapa gejala asma yang boleh diperhatikan sekiranya terkena pada kanak-kanak.
Antaranya adalah kerap batuk pada waktu malam atau awal pagi, mengeluarkan bunyi wheezing (bunyi bersiul) apabila bernafas, sesak dada dan sukar bernafas.
Justeru, risiko dan bahaya asap rokok ketiga terhadap kanak-kanak perlu didedahkan dengan lebih meluas dalam kalangan masyarakat termasuk ibu bapa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram