[VIDEO] Pempengaruh sebar kesedaran buat pelancong, ekspatriat pakai sopan masuk 'mall' di Dubai, hormat budaya negara lain


  • Maya
  • Sabtu, 07 Jun 2025

Jacquelyn May memuat naik video kesedaran berpakaian sopan di dalam pusat beli-belah di Dubai.

SEORANG pempengaruh wanita warga Kanada yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jacquelyn May meraih pujian ramai selepas video kesedarannya tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi video dimuat naiknya, Jacquelyn memberi galakkan kepada orang ramai agar berpakaian lebih sopan apabila berkunjung ke pusat beli-belah di Dubai, UAE.

Video yang meraih lebih sejuta tontonan dan disukai oleh Putera Mahkota Dubai merangkapTimbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Pengerusi Majlis Eksekutif Dubai, Sheikh Hamdan Mohammed Rashid Al Maktoum turut mencetuskan perdebatan tentang etika, kesedaran budaya serta kesopanan ketika berada di tempat awam.

BACA LAGI: Ketahui personaliti anda wanita riang, pemalu, berkerjaya dengan 6 gaya galas beg tangan

BACA LAGI: 'Tak masak raya pertama, suami ajar gaya hidup mewah', ramai wanita kongsi ragam 'culture shock' lepas kahwin

"Saya berada di Dubai Mall, di kawasan 'The District' yang baharu dan sedang minum kopi dengan seorang rakan.

"Saya mula berfikir nak buat video ini selepas melihat seorang wanita berjalan dengan memakai pakaian mendedahkan.

"Semua orang merenungnya dan saya terus memikirkannya dan mahu menangani isu itu dengan cara yang santai dan lucu sebagai peringatan bahawa kita tinggal di Dubai dan mesti menghormati budaya dan adatnya," katanya sambil menunjukkan jubah bercorak bunga dan selendang yang dipakainya.

Menurut beliau, niatnya bukan untuk memalukan tetapi mempromosi kesedaran dalam nada santai dan positif.

Video itu juga menarik perhatian bukan sahaja dalam kalangan ekspatriat tetapi juga warga Emirat dan penduduk tempatan.

Rata-rata warga maya turut memuji tindakannya menghormati budaya lain meskipun bukanlah warga tempatan di negara tersebut.

Meskipun Dubai adalah bandar yang mengalu-alukan pelancong dari seluruh dunia dan kod berpakaian tidak dikuatkuasakan secara aktif kecuali pusat perkhidmatan kerajaan dan jabatan, ramai tidak menyedari bahawa pusat beli-belah merupakan ruang berorientasikan keluarga yang sering dikunjungi oleh kanak-kanak.

"Dubai adalah bandar terbuka, tetapi kita semua seronok tinggal di sini kerana keselamatan dan keamanannya.

"Adalah menjadi kewajipan kita untuk menghormati undang-undang dan adat UAE.

"Saya tidak memberitahu orang ramai apa yang perlu dipakai, anda boleh memakai bikini ke pantai, tetapi ada masa dan kawasannya yang sesuai," tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram