'Tak masak raya pertama, suami ajar gaya hidup mewah', ramai wanita kongsi ragam 'culture shock' lepas kahwin


  • Maya
  • Sabtu, 07 Jun 2025

Alam perkahwinan yang pastinya membawa perubahan besar dalam hidup seseorang. — Gambar hiasan

ALAM perkahwinan merupakan satu fasa kehidupan sering disifatkan sebagai sesuatu yang indah dan membahagiakan.

Namun, bagi sesetengah individu, realiti selepas diijab kabul adalah jauh berbeza berbanding apa dibayangkan.

Selain penyatuan dua hati, perkahwinan juga mengajar erti toleransi dan bertolak ansur apabila berdepan dengan perbezaan budaya, gaya hidup dan cara didikan.

BACA LAGI: Kurang vitamin D ketika hamil mungkin penyebab anak autisme, ADHD

BACA LAGI: Jangan pandang remeh, elak kongsi alat peribadi ini walau sesama ahli keluarga

Menjadi ahli keluarga baharu pastinya mengambil masa untuk menyesuaikan diri. — Gambar hiasan

Pun begitu, perkara tersebut secara tidak langsung menyebabkan kejutan budaya terutama bagi pasangan muda atau yang baharu melangkah ke dunia rumah tangga.

Berdasarkan perkongsian menarik oleh pengguna akaun Threads @anisisme._, terdapat beberapa ragam kejutan budaya dihadapi pasangan selepas berkahwin.

Berkongsi pengalaman pada awal perkahwinan, seorang wanita akaun @beautifoolchix, mendedahkan perubahan drastik yang dialaminya selepas berkahwin, terutamanya ketika menyambut perayaan.

"Terkejut bila keluarga suami langsung tak masak hari raya pertama.

"Alasannya pergi beraya rumah saudara dari pagi sampai malam, raya kedua baru nak fikir masak rendang semua. Sampai menangis call ibu ayah," tulisnya.

Seorang lagi warga maya turut berkongsi kejutan budayanya apabila terpaksa menyesuaikan diri dengan gaya hidup mewah diamalkan oleh suami.

"Saya daripada keluarga sederhana. Cara didikan mak ayah pun sederhana.

"Saya dah biasa berkira masa berbelanja. Baju thrift, beg tangan murah, makan warung.

"Selepas kahwin suami ajar berbelanja benda mahal dan berjenama sebab dah status dewasa dan berkahwin jadi gaya hidup pun perlu tukar katanya.

"Dia ikut kakak-kakaknya yang dah bekerjaya lama supaya saya pun ada rupa matang dan profesional. Dia ajar saya makan bufet hotel," tulis @zimahzatii.

Bukan itu sahaja, ada juga yang mengakui terkejut apabila melihat tradisi diamalkan oleh keluarga mentua.

Kata pengguna akaun @tambahilmu9, keluarga mertuanya kerap membuat majlis atau aktiviti bersama keluarga.

"Mereka juga suka meraikan macam sambutan hari jadi, hari ibu, hari bapa dan ulang tahun perkahwinan.

"Suka juga ada tema, dapat tahu sahaja ada majlis terus saya pening kepala," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram