
SYRIA kini di bawah pemerintahan kerajaan peralihan Islamis memperkenalkan kod pakaian baharu mewajibkan wanita memakai pakaian renang Muslimah atau lebih dikenali burkini yang menutupi seluruh badan di semua pantai awam dan kolam renang milik kerajaan.
Arahan itu diumumkan oleh Kementerian Pelancongan dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik menerusi laman Facebook.
Katanya, garis panduan baharu itu diperkenalkan demi kepentingan awam dan mengambil kira sensitiviti pelbagai segmen masyarakat.
Menteri Pelancongan, Mazen al-Salhani berkata, pelawat tempatan dan pelancong asing kini diwajibkan mematuhi etika pemakaian yang lebih sopan di tempat awam, khususnya kawasan pantai.
“Pakaian renang yang lebih tertutup seperti burkini diwajibkan untuk wanita dan mereka juga perlu memakai jubah atau pakaian longgar ketika bergerak ke kawasan selain pantai.
“Lelaki pula dilarang berkeliaran tanpa baju di kawasan awam seperti lobi hotel, restoran dan kawasan rekreasi,” katanya.
BACA LAGI: Ramai tak tahu, cara 'scroll', pegang telefon pintar dedah sisi tersembunyi personaliti anda
Namun, pengecualian diberikan kepada hotel dan pusat peranginan bertaraf antarabangsa (empat bintang ke atas) serta kolam renang dan pantai persendirian iaitu pakaian renang gaya Barat masih dibenarkan di lokasi tersebut.
Langkah itu mencetuskan perbincangan hangat terutamanya dalam kalangan wanita Syria yang melihatnya sebagai satu lagi bentuk kawalan terhadap hak tubuh dan kebebasan berpakaian.
Sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember lalu, perubahan budaya yang lebih ketat semakin ketara di bawah pemerintahan baharu.
Kerajaan peralihan kini diterajui oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS), sebuah gabungan Islamis yang sebelum ini dikenali sebagai Al-Nusra Front iaitu kumpulan yang telah disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Presiden sementara Syria, Ahmad al-Sharaa, yang mengetuai serangan pantas menumbangkan Assad menandatangani kod pakaian itu sebagai sebahagian daripada dasar pentadbiran baharu.
Beliau sebelum ini turut memperkenalkan perlembagaan sementara yang menetapkan pemerintahan berteraskan Islam untuk tempoh transisi selama lima tahun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram