[VIDEO] Pernah kecewa tidak dapat sambung belajar, Mila Jirin bangga jadi 'arkitek impian', reka 20 dewan jamuan


  • Sukses
  • Selasa, 10 Jun 2025

Mila Jirin kini memiliki tujuh cawangan di seluruh negara dengan empat di Lembah Klang, dua di Johor Bahru, Johor dan satu di Pulau Pinang. — Instagram/@mila_jirin

DAHULU, suara emasnya memikat juri dan pendengar, kini sentuhannya pula merealisasikan impian pasangan bergelar raja sehari.

Nama Mila Jirin bukan asing lagi dalam dunia hiburan dan perniagaan. Selepas menjuarai Akademi Fantasia musim kelima, ramai menyangka karier seninya akan melonjak jauh.

Namun, arah hidup Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin berubah apabila beliau memilih untuk memberi fokus sepenuhnya kepada dunia keusahawanan.

BACA LAGI: Strategi pembelian rumah pertama: Silap percaturan boleh jadi beban, kalau bijak raih pendapatan sampingan

BACA LAGI: Wanita jangan cepat panik jika kereta dilanggar dari belakang, ikuti panduan tangani situasi secara bijak

 

Siapa sangka, anak kelahiran Pulau Pinang ini lebih cemerlang membina empayar sendiri berbanding mengejar glamor dunia hiburan.

Kini, beliau berdiri sebagai usahawan wanita berjaya selepas mereka bentuk dan mengubah suai kira-kira 20 dewan perkahwinan menerusi syarikatnya, Bizmilla Wedding Centre.

Dalam satu hantaran di Instagram, wanita berusia 38 tahun itu mengimbas kembali zaman persekolahan apabila menyimpan impian untuk menjadi jurutera atau arkitek.

“Dulu saya bercita-cita nak jadi jurutera dan arkitek. Masa sekolah teknik, saya belajar AutoCAD dan lukisan kejuruteraan,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Ibu kepada seorang anak itu turut berkongsi bagaimana hasrat tersebut tidak kesampaian selepas menamatkan persekolahan.

“Lepas habis sekolah, saya tak sambung universiti. Masa tu kecewa, tapi ALLAH Maha Baik. ALLAH bawa saya ke universiti kehidupan. Belajar dari kerja, pengalaman, jatuh bangun,” kongsi pemilik suara lagu Persis Mutiara itu.

 

 

Lebih membanggakan, ibu kepada seorang anak itu bukan sekadar mengurus perniagaan, malah terlibat secara langsung dalam proses mereka bentuk dan mengubah suai setiap dewan jamuan di bawah jenamanya.

“Tanpa sedar, hari ini saya dah mereka 20 dewan. Dari lukisan kasar, sesi perah otak dengan arkitek, lukisan tiga dimensi (3D), pilih kontraktor, susun material, perabot, kelengkapan dewan hingga ke bahagian yang saya paling suka iaitu dekorasi,” katanya.

Tambah beliau, proses itu merupakan bahagian paling mencabar tetapi juga paling memuaskan apabila hasilnya menjadi realiti.

“Aku bangga jadi ‘arkitek impian’ untuk klien yang nak bina majlis terindah di Bizmilla. Setiap dewan kami bukan sekadar bangunan, tapi ruang untuk impian jadi kenyataan,” katanya lagi.

Mila turut berkongsi kata-kata semangat yang sering dipegangnya sepanjang perjalanan kerjaya.

“Kalau ALLAH tak bagi jalan yang saya rancang, ALLAH sedang bawa ke jalan yang lebih indah," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram